Astro Malaysia Holdings Bhd menjangka lima peratus daripada pelanggannya yang sedia ada akan melanggan saluran tayangan gambar senarai yang baru dilancarkannya, 'A-List', kata Ketua Pegawai Operasinya, Henry Tan.

Dalam sebulan, A-List menyiarkan lapan tajuk yang menerima ulasan positif daripada pengkritik di festival filem antarabangsa, seperti Festival Filem Antarabangsa Busan Festival Filem Berlinale, Festival Filem Toronto dan Festival Filem Cannes, kata beliau.

"A-List memenuhi keperluan pelanggan yang mempunyai cita rasa sofistikated terhadap filem-filem antarabangsa dan mahukan filem yang merangkumi segalanya, tema yang mencabar pemikiran dan jalan cerita yang tersendiri -- yang diadun dalam bentuk seni sinematik," katanya kepada Bernama semasa upacara pelancaran itu Jumaat.

A-List boleh ditonton melalui Saluran 456 Astro mulai 1 Oktober, 2013 dan dikenakan bayaran RM15 sebulan.

Dengan saluran tambahan baharu ini, Astro kini mempunyai 172 saluran dan 38 saluran definisi tinggi (HD).

Menurut Tan, syarikat itu merancang untuk melancarkan saluran HD berbahasa Tamil pertama di Asia Tenggara, Vinmeen, sebelum sambutan Deepavali.