Astro, FGH ganti AirAsia dan MMHE di KLCI
Bernama
Disember 13, 2012 21:38 MYT
Disember 13, 2012 21:38 MYT
Penyedia indeks global, FTSE Group dan Bursa Malaysia Bhd, mengumumkan bahawa Astro Malaysia dan Felda Global Ventures akan menggantikan AirAsia dan Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI berikutan semakan setengah tahun Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama semalam FTSE dan Bursa Malaysia juga mengumumkan perubahan pada indeks-indeks lain dalam siri indeks bursa saham itu.
Siri indeks itu disemak dua kali setahun oleh Jawatankuasa Penasihat Indeks FTSE Bursa Malaysia yang terdiri daripada profesional pasaran terkemuka yang memastikan kajian indeks itu mematuhi sepenuhnya peraturan indeks yang amat telus dan boleh didapati oleh orang ramai.
"FTSE Bursa Malaysia KLCI digunakan dengan meluas oleh pelabur sebagai ukur rujuk utama bagi pasaran Malaysia, dan menjadi asas rangkaian produk pelaburan yang luas, termasuk FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI) dan produk kewangan berkaitan indeks lain," jelas kenyataan itu.
Dalam senarai simpanan FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang terdiri daripada lima bukan konstituen indeks yang tertinggi kedudukannya berdasarkan permodalan pasaran ialah SapuraKencana Petroleum, MMC, Lafarge Malayan Cement, AirAsia dan Gamuda.
Senarai simpanan itu akan digunakan sekiranya satu atau lebih konstituen dikeluarkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh itu hingga semakan setengah tahun berikutnya, katanya.
Bagi Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70, perubahan-perubahan itu ialah kemasukan AirAsia, Gas Malaysia, IGB Real Estate Investment Trust dan Malaysia Marine and Heavy Engineering dalam senarai itu, manakala yang dikeluarkan ialah Ann Joo Resource, Fraser & Neave Holdings, TA Enterprise dan Tan Chong Motor.
Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 24 Disember.