Astro catat pertumbuhan pendapatan 9 peratus kepada RM5.2 bilion

Astro Awani
Mac 30, 2015 19:53 MYT
Rohana (tengah) memberitahu, untung selepas cukai berada pada RM519 juta, peningkatan 16 peratus berbanding tahun kewangan sebelum ini. - Foto Astro
Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) mencatatkan pertumbuhan pendapatan 9 peratus kepada RM5.2 bilion berbanding RM4.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2015 disokong peningkatan ARPU, ADEX dan produk nilai tambah yang disediakan Astro.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan, untung selepas cukai berjumlah RM519 juta, peningkatan 16 peratus berbanding tahun kewangan sebelum ini.
Susulan itu Astro mengumumkan dividen interim 2.25 sen sesaham bagi suku ke empat dan 2 sen sesaham bagi dividen akhir menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan tersebut pada 11 sen, peningkatan 22 peratus.
“Astro berjaya menjana pertumbuhan bagi tahun kewangan 2015 di sebalik pasaran pengguna yang perlahan. Ia dipacu oleh kemampuan Astro menyediakan pilihan kandungan yang luas dan mendalam kepada rakyat Malaysia,” katanya sewaktu pengumuman tersebut.
Tambah Rohana, momentum langganan bagi produk dan perkhidmatan Astro kukuh merentasi TV berbayar, NJOI, Astro on the GO dan platform OTT.
“Astro kini mempunyai 4.4 juta pelanggan merangkumi 63 peratus penembusan isi rumah berbanding 56 peratus tahun kewangan sebelumnya. ARPU tumbuh sihat pada RM99 berbanding RM96."
Peningkatan nilai ARPU itu dipacu langganan bagi HD (16 peratus), PVR (34 peratus) , Multiroom (24 peratus), Superpack (10 peratus) dan Valuepack (78 peratus).
Bagi tahun kewangan sama, Astro melancarkan 12 saluran baru menjadikan jumlah keseluruhan saluran adalah 184 dengan 50 daripadanya adalah HD.
Mengulas berkenaan Astro Go Shop yang dilancarkan baru baru ini, Rohana berkata ia mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jualan harian antara RM400 ribu ke RM500 ribu.
“Pendapatan Astro Go Shop bagi tahun kewangan ini adalah RM25 juta dan kami unjur bagi tahun ini adalah sekitar RM150 juta."
Rohana berkata bagi NJOI pula, jumlah langganan melepasi angka 1 juta buat kali pertama.
Bagi Astro on the Go (AOTG), Rohana berkata jumlah muat turun meningkat 60 peratus kepada 1.4 juta pengguna bagi tahun kewangan 2015.
#Astro #Astro Go Shop #Astro On the Go #Datuk Rohana Rozhan #NJOI
;