Astro catat peningkatan untung bersih 13 peratus

Luqman Hariz
September 26, 2022 18:18 MYT
Astro mencatatkan pendapatan sebanyak RM921 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai Dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 13 peratus tahun-ke-tahun (y-o-y) kepada RM98 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023.
Ia selepas kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM921 juta bagi tempoh tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, pemulihan sentimen pengguna kekal tidak serata, hasil inflasi yang meningkat akibat gangguan rantaian bekalan global dan keadaan geopolitik semasa.
Tan bagaimanapun berkata, prestasi Astro kekal memberangsangkan, didorong oleh prestasi penstriman yang lebih baik serta langganan daripada perniagaan perusahaan.
“Pakej TV kami yang terkini untuk dunia penstriman menarik minat pelanggan sedia ada dan baharu.
“Manakala perniagaan perusahaan kami melihat langganan daripada pusat makanan dan minuman serta perhotelan meningkat, selaras dengan pembukaan semula ekonomi,” katanya.
Astro turut menyaksikan pendapatan pengiklanan radio (Radex) dan digital (Adex) meningkat, masing-masing sebanyak 16 peratus dan 5 peratus.
Ia sekaligus membawa jumlah pendapatan pengiklanan (Adex) kumpulan itu kepada RM199 juta.
Sementara itu, sambutan terhadap penawaran kandungan tempatannya kekal memberangsangkan.
Drama televisyen terbitan Astro, Jangan Menangis Cinta mencapai lebih 1.4 juta tontonan melalui televisyen dan 5.1 juta melalui penstriman, manakala Dendam Seorang Isteri mencatat lebih 792,000 tontonan televisyen and 5.6 juta tontonan penstriman.
Sementara filem terbitan Astro Shaw meneruskan dominasi kejayaan di pawagam, dengan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM30 juta dan Abang Long Fadil 3 berjaya mengumpul RM21 juta setakat ini.
Bergerak ke hadapan, Tan berkata Astro akan terus melabur untuk menambah baik perkhidmatan dan penawarannya kepada pelanggan di sebalik keadaan ekonomi yang dijangka terus mencabar.
“Pelaburan ke dalam pelan transformasi kami berterusan dengan memfokuskan kepada kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman penonton, data, penyasaran iklan dan infrastruktur teknologi untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami.
“Astro Fibre, perkhidmatan Internet yang kami lancarkan suku lalu, menerima sambutan yang
amat memberangsangkan terutamanya dalam bentuk pakej gabungan jalur lebar dan kandungan.
“Kami jangka Astro Fibre akan terus berkembang tahun ini,” tambah Tan.
Susulan keputusan tersebut, Astro mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1 sen sesaham.
#henry tan #pengiklanan radio #pengiklanan digital #Astro Fibre
;