Astro catat peningkatan pendapatan 5 peratus

Luqman Hariz
Mac 22, 2016 21:15 MYT
Menurut Rohana, kandungan rentas platform serta filem asli merupakan antara pemacu prestasi Astro. - Foto Astro AWANI
Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM5.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016.
Ianya merupakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Susulan ini, Astro turut mencatatkan peningkatan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak 7 peratus kepada RM1.9 bilion.
Ia turut mencatatkan Aliran Tunai Bebas (FCF) sebanyak RM1.3 bilion dan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 18 peratus kepada RM615 juta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd Datuk Rohana Rozhan, prestasi ini ekoran kejayaan Astro menyediakan kandungan terbaik kepada para pelanggannya merentasi kesemua platform.
“Bukan sahaja kami peneraju kandungan di skrin televisyen, kami turut hadir di semua skrin, di dalam dan luar rumah.
Jadi pencapaian kami di aspek inilah yang menjadi antara pemacu utama prestasi kewangan syarikat,” kata Rohana.
Tambahnya, penghasilan kandungan asli turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan Astro sebagai peneraju utama media negara sepanjang suku lalu.
Ini termasuk filem hit Polis Evo dan Ola Bola yang memecahkan pelbagai rekod di pawagam.
“Salah satu perkara yang saya mesti ketengahkan adalah kandungan kami. Tahun lalu, 24 kandungan terbitan kami berjaya meraih jumlah penonton melebihi 1 juta orang.
“Antara perkara menarik yang kami ingin raikan bersama-sama industri filem Malaysia adalah 2 filem kami, Polis Evo dan Ola Bola yang memberi nafas baru kepada industri perfileman Malaysia dan mencapai pelbagai rekod baru, tambahnya.
Bergerak ke hadapan, Datuk Rohana berkata Astro terus komited dalam menyediakan kandungan bermutu tinggi kepada para pelanggannya walaupun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar.
“Anda akan terus melihat kami melabur dalam kandungan vernakular dan premium.
“Kita mempunyai Euro 2016 dan Sukan Olimpik selepas ini, sangat menarik. Pada masa yang sama, kami turut memperbaharui komitmen kami kepada Liga Perdana Inggeris.
“Ini semua meskipun kami berdepan cabaran dari segi tukaran mata wang dan kenaikan harga untuk kandungan sukan.
Kata Rohana, ini membuktikan bahawa Astro kekal komited untuk memberikan nilai yang terbaik kepada para pelanggannya.
Susulan keputusan memberangsangkan ini, Astro turut mengumumkan dividen interim sebanyak 2.75 sen sesaham berserta dividen akhir 1.0 sen sesaham.
Ini membawa jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2016 kepada 12.0 sen sesaham, peningkatan 9 peratus berbanding tahun 2015.
Sementara itu, Astro turut menyaksikan peningkatan muat turun pada aplikasi atas taliannya, Astro on the Go sebanyak 53 peratus kepada 2.1 juta muat turun.
Selain itu, kadar penembusan Astro juga kini berada pada paras 67 peratus dari seluruh isi rumah Malaysia.
#Astro #Astro Malaysia Holdings Berhad #Astro On the Go #Datuk Rohana Rozhan #dividen #keputusan kewangan #suku keempat 2016
;