Astro catat peningkatan PATAMI kepada RM127 juta bagi Q4FY22

Faris Danial Razi
Mac 31, 2022 19:05 MYT
Ia adalah pertumbuhan 20 peratus dari suku tahun ke suku tahun setelah mengambil kira impak Cukai Makmur pada tahun kewangan berakhir 2022.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) kepada RM127 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (Q4FY22).
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Astro memaklumkan, ia adalah pertumbuhan 20 peratus dari suku tahun ke suku tahun setelah mengambil kira impak Cukai Makmur pada tahun kewangan berakhir 2022.
Untuk tempoh yang sama, perbelanjaan pengiklanan digital (Adex) telah meningkat sebanyak 56 peratus kepada RM146 juta, disebabkan oleh pemulihan ekonomi dan penyambung semula produksi-produksi signature.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi, berkata keputusan kewangan Q4FY22 bertambah baik dari suku tahun ke suku tahun kerana pemulihan ekonomi, namun sentimen pengguna serta keupayaan perbelanjaan kekal cermat.
"Syarikat kekal menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
"Justeru, pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim keempat bernilai 1.5 sen sesaham dan mencadangkan dividen akhir 0.75 sen sesaham, memberi ganjaran kepada para pemegang saham kami dengan dividen tahun penuh 6.75 sen sesaham.
"Ini mewakili 76 peratus keuntungan untuk tahun kewangan berakhir 2022, atas polisi dividen pembayaran 75 peratus PATAMI," katanya dalam kenyataan yang sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata dalam tahun kewangan berakhir 2022, Astro telah menjalankan pelan transformasi dan strategi pengagregatan untuk menjadi Destinasi Hiburan No. 1 di Malaysia.
“Pengalaman baharu Astro meletakkan para pelanggan pada nadi perniagaan kami dan menawarkan bundle yang lebih bernilai.
“Ia menerusi satu bil dengan menyediakan perkhidmatan penstriman antarabangsa yang terbaik, bergabung dengan rancangan-rancangan perdana kami dan siaran sukan secara langsung yang lancar hanya di satu tempat.
“Para pelanggan telah memberi reaksi yang baik dengan seleksi bundle baharu dan kami kini berada jauh daripada yang dijangkakan daripada segi peralihan para pelanggan yang sedia ada ke pek-pek baharu serta dikontrak semula.
“Kami telah menggandakan perkhidmatan penstriman kepada enam dengan Netflix, Disney+ Hotstar dan TVBAnywhere+ yang menyertai Astro GO, HBO Go dan iQIYI, dengan banyak lagi yang akan datang dalam tahun kewangan berakhir 2023 untuk memperkukuhkan Astro sebagai destinasi penstriman untuk rakyat Malaysia.
“Netflix sudah sepenuhnya diintegrasi ke dalam Ultra dan Ulti Box dan ini akan diikuti Disney+ Hotstar,” jelas Henry Tan.
Setakat ini, lebih 550 ribu rumah mempunyai Ultra dan Ulti Box yang berfungsi menerusi satelit dan jalur lebar, katanya.
Sementara itu, katanya Astro GO mencecah 919,000 pengguna aktif dengan purata jam tontonan mingguan sebanyak empat jam, manakala penstriman rancangan menerusi On Demand pula melonjak sebanyak 139 peratus dari tahun ke tahun kepada 530 juta.
“Hasil NJOI Prepaid meningkat dengan 17 peratus dari tahun ke tahun yang disebabkan oleh pek-pek prabayar. Dalam tahun kewangan berakhir 2022, pangkalan jalur lebar kami meningkat sebanyak 58 peratus dari tahun ke tahun dengan lebih ramai pelanggan menggabungkan perkhidmatan jalur lebar dengan kandungan demi kesenangan dan nilai.
“Kami melancarkan perkhidmatan Internet sendiri, Astro Fibre untuk menambah nilai kepada pengalaman hiburan pelanggan kami.
"Ia menawarkan one-stop ketersambungan dan solusi kandungan dengan kepantasan bermula daripada 50Mbps sehingga 800Mbps bersama dengan Mesh Wi-Fi dan kepelbagaian kandungan Astro serendah RM129.99,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, pada tahun kewangan berakhir 2023, Astro akan terus memacu dengan menjadi pembekal perkhidmatan Internet, gabungan Astro Fibre dengan kandungan, memperkenalkan Astro Fibre dengan sendirinya sebagai pelengkap tawaran-tawaran kami, serta pelancaran pengiklanan bersasar berskala penuh.
#Astro #keuntungan #Patami #Q4FY22
;