Astro catat pendapatan RM870 juta, PATAMI RM24 juta

Ridauddin Daud
September 25, 2023 18:51 MYT
Smith berkata, ARPU meningkat RM1.70 tahun ke tahun dan RM0.40 suku ke suku ke RM99.10 dalam suku kedua tahun kewangan berakhir 2024, dengan peningkatan pangkalan jalur lebar ke 27 peratus tahun ke tahun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings (AMH) Berhad melaporkan pendapatan sebanyak RM870 juta bagi suku kedua untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024.
Pendapatan itu disokong pertumbuhan segmen jalur lebar di sebalik keadaan makroekonomi yang turun naik dan juga mata wang asing.
Kumpulan itu turut merekodkan kenaikan Keuntungan Selepas Cukai Dan Faedah Minoriti (PATAMI) sebanyak 49 peratus suku ke suku kepada RM24 juta pada tahun kewangan berakhir 2024.
Manakala purata hasil bagi setia pengguna (ARPU) pula naik RM1.70 tahun ke tahun, dipacu oleh Pek TV Baharu dan Bundle Jalur Lebar.
Astro juga kekal menjana wang dan proaktif dalam pengurusan kapital dengan melabur semula menerusi pertumbuhan perniagaan.
Kumpulan juga telah meluluskan semakan semula polisi dividen Astro berkuatkuasa dengan serta merta bermula dengan tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024.
Kumpulan berhasrat untuk mengedarkan dividen secara tahunan daripada PATAMI yang disatukan dan sejajar dengan polisi itu, maka tiada dividen akan diberikan untuk suku ini.
Bagi pengiklanan, Astro mencatatkan Adex sebanyak RM87 juta, dengan Radex, TV Adex, dan Digital Adex masing-masing mewakili sebanyak 78 peratus, 32 peratus, dan 2 peratus pendapatan pengiklanannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, ARPU meningkat RM1.70 tahun ke tahun dan RM0.40 suku ke suku ke RM99.10 dalam suku kedua tahun kewangan berakhir 2024, dengan peningkatan pangkalan jalur lebar ke 27 peratus tahun ke tahun.
“Signature premium tempatan, drama dan original kami dengan kandungan baharu seperti Sepahtu Reunion Live, Real Men Malaysia: Wira Merah, Jack Yusof and Once Upon a Kopitiam kekal menjadi kunci pembeza Astro.
“Suku ini menyaksikan filem kami Malbatt: Misi Bakara mengecapi kejayaan yang hebat di panggung tempatan dengan mencatat lebih RM32.5 juta sehingga kini.
Polis Evo 3 pula melengkapi siaran pawagamnya dengan penjualan tiket mencecah RM54 juta menjadi filem nombor satu di Malaysia mengatasi filem-filem blockbuster Hollywood.
“Filem ini kini memenangi hati para penonton kami di Astro First, perkhidmatan Pay Per View dengan mengutip RM1.7 juta setakat ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Smith, penstriman menerusi Ultra dan Ulti Box serta Astro GO naik dengan penstriman rancangan On Demand meningkat 31% tahun ke tahun ke 389 juta dalam separuh tahun pertama untuk tahun kewangan berakhir 2024.
"Pemasangan Ultra dan Ulti Box naik 37 peratustahun ke tahun ke 930 ribu. Astro GO menyaksikan pertumbuhan pengguna aktif sebanyak 508 ribu bulanan dengan purata tontonan mingguan sebanyak 3.3 jam. Kami terus mengagregat aplikasi-aplikasi penstriman dan gaya hidup terbaik di Ultra dan Ulti Box dengan pelancaran Qalbox, SYOK dan MyAstro, yang merupakan tambahan kepada keluarga 14 aplikasi kami.
Qalbox by Muslim Pro menawarkan pelbagai pilihan kandungan Islamik yang tiada bandingan. SYOK, aplikasi hiburan audio paling popular di Malaysia membawakan kesemua stesen radio dan podcast kegemaran negara, manakala integrasi MyAstro memberikan para pelanggan kemudahan untuk mengurus akaun menerusi TV mereka,” tambah Smith.
#Astro #Keuntungan selepas cukai #Polis Evo 3 #Hollywood
;