Astro catat pendapatan RM1.06 bilion, untung RM141 juta
Firdaus Azil
Jun 22, 2021 18:47 MYT
Jun 22, 2021 18:47 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd menyaksikan pendapatannya meningkat 91 peratus kepada RM141 juta bagi tahun kewangan 2022 (FY22) yang akan berakhir pada 31 Januari 2022.
Dalam satu kenyataan hari ini, Astro berkata, pendapatannya turut meningkat satu peratus kepada RM1.06 bilion.
Ia antara lain dimangkin oleh peningkatan 21 peratus kepada keuntungan pengiklanan (Adex) kepada RM109 juta, dan keuntungan RM115 juta yang dicatatkan oleh Astro Go Shop.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, di sebalik fasa penutupan atau ‘lockdown’ yang dikuatkuasakan semula, Astro tetap meneruskan momentum pemulihan yang kukuh dalam suku pertama FY22.
“Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat," katanya.
Susulan prestasi ini, Astro mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 1.5 sen sesaham.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, syarikat tersebut akan terus mengukuhkan penawaran kandungannya kepada pelanggan di semua platform.
“Kami terus melaksanakan strategi yang dirancang syarikat dan pada bulan Jun, kami telah memperkenalkan dua platform perkhidmatan penstriman: Sooka yang menyajikan acara sukan berprestij secara langsung dan program-program tempatan khususnya buat golongan milenia, serta Disney+ Hotstar yang menawarkan kandungan menarik pada nilai yang amat berpatutan," katanya.
Disney+ Hotstar kini mengandungi 800 filem dan 18,000 siri atau episod Disney.
“Pelanggan boleh menantikan lebih banyak program terbaik sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menjadi pengagregat perkhidmatan penstriman nombor satu negara,” tambah Henry.
Henry menambah, Ultra dan Ulti Box juga kini berada di lebih 300,000 kediaman dan menawarkan pengalaman tontonan hebat buat pelanggan Astro.
Sementara itu, aplikasi Astro GO terus mempertingkatkan perkhidmatannya menerusi ‘pra-akses’ dan ciri-ciri ‘muat turun’, dan kini mempunyai 1.4 juta pengguna aktif setiap bulan dengan kadar purata tontonan selama 213 minit setiap minggu.
Manakala jumlah tontonan video di platform On Demand yang distrim pelanggan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 100 juta.
“Perkhidmatan jalur lebar kami juga terus merekodkan pertumbuhan lebih dari 80 peratus dari tahun ke tahun, apabila ramai di antara pelanggan kami yang menggabungkan pakej jalur lebar bersama kandungan yang ditawarkan bagi mendapat lebih nilai dan memudahkan urusan masing-masing,” kata Henry lagi.
Mengulas mengenai pemulihan Adex, Astro berkata, ia disokong oleh program-program vernakular yang bersiaran secara langsung dan rancangan Astro Originals yang menarik.
“Adex memperlihatkan pertumbuhan sebanyak 21 peratus dari tahun ke tahun kepada RM109 juta, mengungguli pertumbuhan industri pengiklanan yang berkembang pada kadar 9 peratus.
"Namun begitu, fasa penutupan atau ‘lockdown’ yang berlarutan ini merencatkan perkembangan pendapatan Adex, kerana kebanyakan pelanggan/ pengiklan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan; dan perniagaan komersial dan pengusaha hotel juga terkesan, dicetuskan oleh kadar trafik yang rendah dan ketiadaan penginap,” menurut kumpulan itu lagi.
Mengulas mengenai impak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Astro berkata, keseluruhan pengurusan operasi kekal mencabar terutamanya di sebalik fasa penutupan atau ‘lockdown’ di seluruh negara, walaupun Malaysia kini dalam usaha mempergiatkan program vaksinasinya.
Jika fasa penutupan terus berpanjangan, kumpulan itu berkata, pendapatan Astro terutamanya di segmen pengiklanan dan perniagaan akan terkesan.
Menurut kenyataan itu lagi, Astro akan terus mengoptimumkan kos perbelanjaan dan mempergiatkan usaha pengurusan modal agar penyata kewangan syarikat kekal kukuh.
#Astro
#keuntungan bersih
#Q1FY2022
#Pelaksanaan PKP
#nilai
#Disney
#Astro GO
#henry tan
#tun zaki azmi
#Malaysia