Astro catat pemulihan Adex pada suku tahun ketiga

Astro Awani
Disember 11, 2024 17:59 MYT
Telefilem 'Andai Tiada Dia'dan filem 'Kahar: Kapla High Council' terbitan Astro Shaw yang mampu memberi Astro pencapaian dalam aspek penghasilan karya berdaya saing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) mencatat pertumbuhan dalam perbelanjaan pengiklanan (Adex) pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (FY25).
Dalam tempoh itu, Adex Astro meningkat 13 peratus suku-ke-suku bernilai RM80 juta dan mencerminkan kebolehupayaan syarikat penyiaran ini menyesuaikan diri dan terus memberikan nilai tambah kepada pengiklan dalam keadaan ekonomi semasa.
Walaupun ekonomi suram dan perbelanjaan pengguna berhati-hati, Astro mencatat pendapatan RM750 juta, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) RM158 juta, dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal RM1 juta, dengan aliran tunai bebas sebanyak RM138 juta.
Peningkatan ini didokong prestasi cemerlang Astro Radio, yang menyumbang RM40 juta Adex syarikat, dengan pertumbuhan sebanyak 24 peratus suku-ke-suku, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian radio nombor satu Malaysia, seperti laporan bancian bebas pendengar radio yang dilaksanakan oleh GfK baru-baru ini.
Menurut kajian ‘Radio Audience Measurement (RAM) Wave 2, 2024 GfK’, yang diiktiraf industri, Astro Radio mencatat peningkatan capaian sebanyak 2 peratus yang menjadikan jumlah capaiannya kepada 72 peratus.
“Ini secara langsung membuktikan kebolehannya untuk memikat hati para pendengar. Dapatan yang merentasi 16 stesen radio (menggunakan data Commercial Radio Malaysia’s (CRM)) mengesahkan Astro terus mendahului lanskap radio Malaysia dengan mengungguli tempat pertama dalam keempat-empat bahasa utama,” jelas Astro dalam satu kenyataan hari ini.
“Era.FM dan Sinar.FM mendominasi jenama radio bahasa Melayu, Hitz.FM dan MIX.FM pula mendahului jenama bahasa Inggeris, manakala MY.FM merupakan jenama utama bahasa Cina, dan Raaga kekal sebagai jenama bahasa Tamil nombor satu." tambahnya.
Astro turut mencatatkan pencapaian dalam aspek penghasilan karya berdaya saing.
Setakat ini, Astro mencatat kejayaan besar dengan filem Kahar: Kapla High Council (mencecah RM10 juta sejak mula tayangan Nov) dan Don Dukun (RM5 juta), serta program realiti TV seperti TikTok: Gimme The Mic Malaysia dan Muzikal Lawak Superstar 4, masing-masing meraih 5.1 juta penonton.
Teledrama Andai Tiada Dia unggul muncul sebagai tontonan nombor satu 2024 selepas merekodkan 1.6 juta tontonan, manakala adaptasi Jepun, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi menarik jutaan tontonan, membuktikan keunggulan Astro dalam adaptasi karya tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Holdings Berhad, Euan Smith berkata, rata-rata keluarga di seluruh negara sedang menghadapi pelbagai tekanan, dihimpit kos sara hidup yang kian meningkat serta ketidaktentuan global — yang mana sebahagiannya disebabkan perubahan dasar Amerika Syarikat yang menyukarkan perbelanjaan.
“Kami di Astro memahami keperitan ini kerana kami turut merasai kesannya. Respon kami jelas: kami hadir menyediakan penyelesaian yang relevan, mampu milik dan bermakna dalam suasana ketidaktentuan ini,” kata Euan.
“Atas dasar itu, kami perkenalkan Astro One, satu pakej hiburan baharu yang diolah khas untuk memudahkan pilihan dan memberi nilai tambah kepada isi rumah di Malaysia.
"Melalui Entertainment Pack, Sports Pack, dan Epic Pack, kami ingin mempermudah para keluarga untuk menikmati kandungan bertaraf dunia—daripada produksi tempatan, ‘hits’ antarabangsa, hingga kegemaran serantau; semuanya disesuaikan mengikut minat, peranti dan bajet mereka.”
“Namun, Astro One lebih dari sekadar kemudahan. Ia juga merupakan kaedah untuk menangani ancaman cetak rompak yang makin meningkat dengan menawarkan akses kepada karya digemari secara selamat dan mampu milik.
Menurutnya lagi, cara ini dapat menyokong seisi keluarga tanpa mengira citarasa atau pilihan mereka.
#Astro Malaysia Holdings Bhd #Euan Smith #telefilem #Kahar Kapla High Council
;