Astro BIZone lebih dari sekadar menonton bola, sekali hiburan lengkap!
Amzar Alif
Ogos 25, 2024 21:20 MYT
Ogos 25, 2024 21:20 MYT
AMPANG: Suasana malam akhir Piala FA 2024/2025 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) menjadi lebih meriah dengan adanya ‘Astro BIZone Watch Party’ yang diadakan kali ini di Restoran Al Shariff, Ampang.
Acara yang penuh semangat ini berhasil menyatukan para penggemar bola sepak tempatan untuk menyaksikan pertandingan tersebut secara bersama-sama di bawah slogan ‘Layan Ori, Jangan Curi’.
Tidak hanya sekadar menonton bola, acara ini juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti permainan hadiah, cabutan bertuah, serta sajian makanan dan minuman percuma.
Para penonton turut tampak bersemangat mengikuti setiap rangkaian acara yang disajikan dengan kerjasama Wonda Coffee, Jasmine, Bobbysan dan Mama Joe sepanjang malam penuh meriah tersebut.
ADUN Lembah Jaya, Altimet, yang juga merupakan duta kempen ‘Layan Ori, Jangan Curi’, turut hadir dalam acara ini.
Dalam kesempatan tersebut, beliau menyampaikan pentingnya mendukung industri hiburan dan sukan dengan cara yang betul.
“Rata-rata majoriti orang setuju supaya layan ori dan jangan curi, cuma pengetahuan kenapa sebabnya agak kurang tetapi kita boleh tingkatkan dengan membuat program seperti ini.
“Kita sampaikan maklumat dan penerangan mereka akan faham kenapa. Untuk kelestarian atau pemantapan industri hiburan dan industri sukan profesional itulah sebabnya kita kena layan ori dan jangan curi,” katanya selepas menonton perlawanan akhir Piala FA di Restoran Al Sharif, Ampang pada Sabtu.
Senada dengan Altimet, penyampai radio popular, Ray, juga mengajak para penggemar bola sepak tidak kira tempatan atau antarabangsa untuk terus mendukung penyiar rasmi Astro.
“Pastikan korang pesan kepada mereka-mereka yang pakai box curi ni, mana kedai mamak yang korang pergi tolong pesan tolong lah pakai yang original dapatkan daripada Astro sendiri, layan ori jangan curi,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan akhir Piala FA pada malam itu, Ray berpendapat JDT memiliki kelebihan pengalaman bermain di final menjadikan pasukan mereka tidak berdepan masalah beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.
“JDT membuat gerakan pressing sampai Selangor tidak ada ruang untuk bergerak. Tetapi Selangor juga cuba untuk memberi lawan yang baik kepada JDT. Mungkin Selangor tidak mempunyai pengalaman yang besar lagi untuk musim ini pergi ke final berbanding JDT,” tambahnya.
Astro BIZone Watch Party akan diteruskan selepas ini untuk perlawanan sukan-sukan lain dengan pengalaman tontonan secara langsung yang tiada tandingan.