Aston Martin Vulcan buat kemunculan dinamik
Astro Publication
Jun 29, 2015 14:18 MYT
Jun 29, 2015 14:18 MYT
Setelah berbulan-bulan kami nanti, akhirnya Aston Martin Vulcan membuat kemunculan penuh gaya di Goodwood festival of Speed ke-23. Walaupun ia pernah menjadi tarikan dan penyeri di pertunjukan automotif – seperti Geneva dan New York – ini adalah kali pertama ia tampil secara dinamik.
Aston Martin Vulcan adalah model supercar khas untuk kegunaan di litar, sekaligus hasil mereka yang paling fokus.
Pemandu pasukan lumba Aston Martin Racing Works iaitu Darren Turner memandu jentera yang dikuasakan enjin petrol V12, 7.0-liter ini yang menghasilkan lebih daripada 800hp. Mengikut syarikat, ia mampu membuat pecutan 0-100km/j dalam masa kurang dari tiga saat dan kelajuan maksimum melampaui 321km/j.
Hanya 24 unit Vulcan akan dihasilkan; ia diperbuat daripada gentian karbon dan banyak menggunakan kepakaran yang dipelajari oleh penglibatan panjang Aston Martin di dalam perlumbaan GT. Antaranya, pacuan ke roda belakang daripada enjin yang diletakkan di hadapan/tengah disampaikan melalui ‘propeller shaft’ daripada gentian karbon.
Bukan sahaja laju, ia juga dapat berhenti dengan cekap menerusi penggunaan sistem brek dengan cakera seramik karbon berukuran 380mm (hadapan) dan 360mm (belakang).
Vulcan ini menggunakan tayar belakang Michelin (spesifikasi perlumlaan) bersaiz 345/30 x19 inci. Kotak gear pula adalah jenis ‘sequential’ enam kelajuan buatan Xtrac.