ASNB umum agihan pendapatan 6.45 sen seunit

Najib Aroff
Disember 23, 2014 11:39 MYT
Peruntukan bagi pengagihan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM107.57 juta, peningkatan 7.28 peratus berbanding RM100.27 juta tahun lepas. -
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.45 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.
Peruntukan bagi pengagihan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM107.57 juta, peningkatan 7.28 peratus berbanding RM100.27 juta tahun lepas.
Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pembayaran berkenaan akan memberi manfaat kepada 1.26 juta pemegang unit yang melanggan 1.66 bilion unit ASN.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berdasarkan kapasiti, ASNB boleh membayar 11.2 sen seunit.
“Jumlah 6.45 sen adalah sesuai dengan kedudukan pasaran saham yang menurun dengan indeks turun sedikit, cuma kita harap ini peluang pengurus dana buat strategi lebih baik untuk mantapkan portfolio kita," katanya.
“Ini masa pilih portfolio sesuai untuk pelaburan jangka panjang yang mantap”, tambah Hamad Kama pada sidang media selepas pengumuman pengagihan keuntungan ASN di sini, hari ini.
Sehingga 22 Disember 2014, ASN memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM138.99 juta melibatkan sumbangan dari keuntungan jualan saham sebanyak RM89.68 juta atau 64.5 peratus.
Sementara pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM39.01 juta atau 28.1 peratus dan selebihnya iaitu RM10.30 juta atau 7.4 peratus diperoleh daripada lain-lain pendapatan.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih pada 31 Disember 2014.
Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan mereka di semua cawangan ASNB seluruh negara bermula 2 Januari 2015.
Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB dan cawangan ditangguh sehingga 1 Januari bagi membolehkan proses kemas kini dilakukan.
#amanah saham nasional berhad #ASNB #Pengerusi Ketua Pegawai Eksekutif PNB #Pengerusi PNB #Tan Sri Kama Piah Che Othman #Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
;