ASNB lancar platform Ria, raih RM6 juta pelaburan
Sinar Harian
Mei 4, 2024 15:00 MYT
Mei 4, 2024 15:00 MYT
PUTRAJAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan Penasihat Pelaburan Robo (Ria) secara berperingkat sejak 11 Mac lalu menerima 60,000 pengguna platform itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, seramai 16,000 pengguna yang mula melabur dalam platform tersebut turut meraih sebanyak RM6 juta pelaburan.
“Kita ada lebih tiga juta pengguna dalam aplikasi ASNB dan daripada jumlah itu, seramai 60,000 pengguna yang berdaftar dengan Ria, namun setakat ini hanya 16,000 yang berani melabur dalam platform ini.
“Kita berikan akses sepenuhnya untuk pengguna menggunakan Ria pada 28 Mac lalu,” katanya ketika Majlis Pelancaran Ria di pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya di sini pada Sabtu.
Pelancaran itu dilakukan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan diiringi dengan ahli lembaga syarikat tersebut.
Reruai ASNB berlangsung selama empat hari di pusat beli-belah itu sejak 2 hingga 5 Mei.
Tambah Muzzaffar, selain majlis pelancaran, pengunjung berpeluang menerokai Ria dan perkhidmatan pelaburan ASNB lain termasuk membuka akaun baharu, mengemas kini butiran, membuka kemudahan Auto Labur dan banyak lagi.
Ujarnya, reruai itu juga menawarkan pelbagai permainan interaktif dan aktiviti menarik, sesuai untuk semua peringkat umur.
“ASNB menawarkan pengalaman interaktif untuk mengetahui tentang Ria dan bertujuan memberi inspirasi serta mendidik orang ramai tentang kepentingan melabur.
“Kami memperkasakan individu untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan yakin,” jelasnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian