Asia Tenggara berpotensi keluarkan bahan suapan SAF - Airbus

Bernama
Februari 21, 2024 04:15 MYT
Menurut Airbus, Asia Tenggara mempunyai potensi pengeluaran yang besar disebabkan oleh banyaknya bahan suapan selain kewujudan industri biodiesel sedia ada. - BERNAMA
SINGAPURA: Banyak negara di Asia Tenggara berpotensi untuk menghasilkan bahan mentah suapan yang mencukupi bagi membangunkan industri bahan api penerbangan mampan (SAF) dan mencapai 100 peratus permintaan bahan api mampan menjelang 2050, kata Ketua Pegawai Kelestarian Airbus, Julie Kitcher.
Beliau berkata, rantau ini mempunyai potensi pengeluaran yang besar disebabkan oleh banyaknya bahan suapan selain kewujudan industri biodiesel sedia ada.
Oleh itu, penggubal dasar sewajarnya membantu membuka kunci pelaburan sambil membentuk landskap kawal selia yang sesuai seperti kemunculan rangka kerja pengawalseliaan bersama di rantau ini.
"Rangka kerja sedemikian akan mempercepatkan peralihan kepada sifar bersih serta pengeluaran beberapa negara, mungkin sebagai pengeksport bersih atau pengimport bersih dan pendekatan kawal selia yang biasa akan lebih lancar untuk bahan api ini dipindahkan merentasi sempadan, bersesuaian dengan keadaan ekonomi.
"Syarat-syarat tersebut harus merangkumi definisi yang jelas untuk kriteria kemampanan berdasarkan definisi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," katanya semasa taklimat Perintis Aeroangkasa Lestari di Pameran Udara Singapura, pada Rabu.
ICAO dan negara anggotanya komited ke arah mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050 dan mencapai visi global kolektif bagi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak lima peratus pada 2030 menggunakan tenaga yang lebih bersih, termasuk SAF.
Oleh itu, Kitcher berkata, masih ada kemungkinan rantau ini membentuk kapasiti pengeluaran yang mencukupi pada 2030, membekalkan sekitar lima hingga 10 peratus SAF mulai 2030.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keperluan untuk mempunyai rancangan pelaburan yang kukuh menjelang 2025 di Jepun, Australia, Thailand, Malaysia dan Singapura, memandangkan 50 peratus daripada pertumbuhan masa depan SAF dijangka berasal dari rantau Asia-Pasifik.
Kitcher berkata, bagi Airbus, para juruteranya sedang mengkaji kemungkinan membangunkan pesawat jarak pendek hingga sederhana baharu yang akan memberikan satu lagi langkah ke hadapan dalam kecekapan bahan api pada separuh kedua 2030-an.
"Dalam operasi penerbangan kami sendiri tahun lepas, SAF menyumbang lebih daripada 10 peratus serta kira-kira 11 juta liter bahan api yang kami gunakan. Kami akan pergi lebih jauh pada 2024, dengan sasaran 15 peratus," katanya.
Beliau juga yakin bahawa Malaysia akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada pengeluaran bahan mentah memandangkan potensinya yang luas. - BERNAMA
#Airbus #saf #Asia Tenggara #Julie Kitcher
;