Aset tetap ekonomi terkumpul negara naik 3.0 peratus kepada RM5.60 trilion

Bernama
September 25, 2024 21:50 MYT
Mohd Uzir berkata struktur aset terus mendominasi SMB dengan sumbangan sebanyak 81.1 peratus iaitu berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2023 berbanding 2.7 peratus pada 2022. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Stok Modal Kasar (SMK) yang mewakili modal terkumpul aset tetap dalam negara, mencatat nilai RM5.6 trilion dengan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus pada 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada masa sama, Stok Modal Bersih (SMB) yang menunjukkan aset ekonomi Malaysia mencecah RM3.5 trilion pada tahun lepas.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata SMB terus berkembang sebanyak 2.9 peratus pada 2023 berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) yang mencatat 5.5 peratus pada tahun ini.
"Perkembangan SMB ini dipengaruhi oleh pertumbuhan yang lebih baik di semua sektor kecuali sektor pertanian yang tumbuh pada kadar lebih perlahan iaitu 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan Perangkaan Stok Modal 2023 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan sektor perkhidmatan tumbuh 3.5 peratus dan kekal penyumbang terbesar (69.0 peratus) berbanding aktiviti ekonomi lain, mencapai RM2.4 trilion pada 2023.
"SMB sektor perkhidmatan terutamanya oleh aktiviti kewangan, insurans, hartanah dan perniagaan merupakan penyumbang terbesar dengan 33.1 peratus dan diikuti oleh aktiviti pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi serta utiliti yang masing-masing mencatat 19.3 peratus dan 10.5 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata semua jenis aset untuk SMB turut meningkat pada tahun ini berbanding 2022.
Beliau berkata struktur aset terus mendominasi SMB dengan sumbangan sebanyak 81.1 peratus iaitu berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2023 berbanding 2.7 peratus pada 2022.
"Aset jentera dan peralatan menyumbang sebanyak 10.9 peratus, meningkat 2.8 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.
"Selain itu, aset lain menyumbang sebanyak 8.0 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus pada 2023 (2022: 0.8 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata komposisi aset Malaysia juga menyamai negara-negara lain seperti Australia, Korea Selatan dan Singapura.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #PMTK #sektor pertanian #aktiviti pengangkutan
;