Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$112.94 bilion pada akhir Julai 2023 - BNM
Bernama
Ogos 30, 2023 15:28 MYT
Ogos 30, 2023 15:28 MYT
KUALA LUMPUR: Aset rizab antarabangsa Malaysia berjumlah US$112.94 bilion (US$1=RM4.64) setakat akhir Julai 2023 manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$1.7 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain.
Ia turut memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut bank pusat itu.
"Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti, deposit mata wang asing termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM berjumlah US$15.64 billion.
""Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$24.30 bilion pada akhir Julai 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya.
BNM berkata seiring dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Katanya unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.37 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$369.5 juta.
"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia
#Tabung Kewangan Antarabangsa
#Aset rizab antarabangsa
#opsyen mata wang asing terhadap ringgit