ASEAN terus catat pertumbuhan EV, pasaran global perlahan
Bernama
April 12, 2024 04:30 MYT
April 12, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Penerimagunaan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN dijangka terus meningkat, didorong oleh sokongan kawal selia, pelancaran model baharu keluaran China pada harga lebih rendah selain peningkatan jumlah pengeluaran automotif dan permintaan ketara di rantau itu.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata enam pasaran melaporkan lonjakan sehingga empat kali bagi jualan kereta elektrik sepenuhnya (FE) kepada 141,095 unit dengan Thailand dan Vietnam muncul sebagai dua negara utama yang menyumbang 77 peratus daripada jualan berkenaan.
Indonesia mencatat jualan FE sebanyak 17,062 unit (meningkat 65 peratus) bagi tahun ke tahun pada 2023 manakala jualan di Malaysia mencecah 10,159 unit (melonjak 286 peratus) tahun ke tahun.
Malah, secara keseluruhannya, ASEAN menyumbang sebanyak 6.2 peratus dari segi bahagian jualan kereta FE dengan enam pasaran pada 2023 berbanding 1.6 peratus pada 2022.
"Sejajar dengan pelancaran lebih banyak model EV pada harga rendah dilancarkan pada 2024 dan 2025, kami menjangkakan kadar penggunaan EV di Asean juga akan terus meningkat.
"Sebarang pertambahan pemandu akan berperanan sebagai subsidi langsung kepada pembeli selain meningkatkan lagi jumlah stesen pengecasan," katanya menerusi nota penyelidikannya, pada Jumaat.
Bank pelaburan itu juga menyifatkan aspek dalam bentuk dorongan kawal selia serta harga EV yang lebih berpatutan, turut menjadi pemacu penggunaannya yang ketara seperti di Thailand.
Menurutnya, Thailand bertindak menawarkan subsidi tunai kepada pembeli EV, duti eksais dan import lebih rendah untuk pihak pengeluar alatan tulen (OEM) selain kerajaannya turut memberi insentif kepada pembuatan tempatan.
"Indonesia pula menawarkan potongan duti dan mendorong pengeluaran di peringkat domestik. Aspek lain yang dapat memacu jualan EV adalah peningkatan harga petrol dan mengurangkan subsidi seperti yang berlaku di Malaysia.
"Cara lain bagi menggalakkan lagi penerimagunaan EV adalah menerusi penawarannya pada harga lebih rendah iaitu kaedah yang dikuasai oleh OEM China dan menyukarkan OEM Jepun/Korea Selatan untuk bersaing di pasaran ASEAN," katanya.
Maybank IB berkata di peringkat global, jualan EV mencecah 14 juta unit pada 2023, (meningkat 34 peratus) yang menyumbang 19 peratus daripada jumlah jualan kenderaan itu.
"Pertumbuhan diunjur perlahan pada 2024 kepada 22 peratus tahun ke tahun berikutan keadaan tepu di China dan Eropah serta ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) menjelang pilihan raya presiden pada November serta prospek kesinambungan dasarnya.
"Kebimbangan ini terbukti menerusi kelemahan jualan oleh syarikat EV terkemuka pada suku pertama tahun ini," katanya.
-- BERNAMA