ASEAN 'tanah subur' untuk inovasi - Kajian

Bernama
Disember 9, 2015 11:13 MYT
Rantau ASEAN antara yang paling keusahawanan di dunia dengan 66 peratus penduduk melihat keusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang positif. - Gambar fail
Kajian yang dijalankan oleh agensi Perancis, Global Entrepreneurship Monitor (GEM), menunjukkan ASEAN amat sesuai untuk keusahawanan yang dipacu oleh inovasi.
Menurut kajian itu yang dijalankan di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, rantau ini antara yang paling keusahawanan di dunia dengan 66 peratus penduduk melihat keusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang positif, mengatasi purata global GEM iaitu 62.46 peratus.
Kajian juga mendapati peluang keusahawanan di rantau ini amat besar memandangkan negara tetangga di Asia dan Lingkaran Pasifik menganggap ASEAN sebagai penyedia peluang perkongsian perdagangan, perniagaan dan ekonomi.
Pengarah Eksekutif Mike Herrington berkata ASEAN berada pada kedudukan baik untuk memainkan peranan yang semakin penting di pentas ekonomi global.
"Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bukan lagi satu abstrak tetapi realiti yang harus diterima oleh kerajaan-kerajaan serantau," katanya.
Beliau berkata laporan GEM menyarankan 10 bidang tumpuan utama untuk merangsang keusahawanan dan inovasi di seluruh rantau termasuk membina keupayaan profesional kerajaan agar lebih memahami dan memenuhi keperluan usahawan, serta komunikasi media yang lebih baik.
Laporan juga menyarankan pelaburan dalam infrastruktur teknologi maklumat yang baik serta menggubal program pembangunan yang dicipta khusus untuk usahawan.
"Keupayaan keusahawanan boleh dibina menerusi usaha bersama dengan kerajaan menumpukan kepada pembaharuan yang dapat membantu mewujudkan persekitaran pemboleh yang memupuk inovasi, mempemudah ekonomi lebih produktif dan paling penting membuka peluang pekerjaan baharu serta lebih baik untuk semua segmen populasi," katanya.
Herrington berkata ini akan menangani kebimbangan dalam laporan yang menunjukkan paras inovasi sekadar sederhana.
"Lebih separuh usahawan ASEAN berkata produk/perkhidmatan mereka bukan baharu kepada pelanggan. Kira-kira 60 peratus perniagaan di rantau ini percaya wujud persaingan tinggi yang menjadi cabaran besar kepada daya maju perniagaan," katanya.
Selain itu katanya, hanya sejumlah kecil perniagaan menjana bilangan pekerjaan yang signifikan dengan lebih separuh usahawan di rantau ini dijangka langsung tidak menjana pekerjaan dan 35 peratus dijangka dapat menghasilkan antara satu dan lima pekerjaan.
"Ironinya, Singapura yang mempunyai kadar keusahawanan rendah, satu-satunya negara yang melaporkan pewujudan pekerjaan secara signifikan," katanya.
Beliau berkata Singapura juga satu-satunya negara yang mempunyai peratusan signifikan usahawan dalam perkhidmatan perantaraan kewangan, komunikasi, profesional dan kerajaan manakala majoriti usahawan di rantau ini adalah dalam perniagaan runcit dengan pertumbuhan rendah, hotel dan restoran.
Herrington juga berkata kajian turut menunjukkan kadar keusahawanan yang positif di rantau ini dengan kadar keusahawanan baru tumbuh yang rendah (perniagaan berusia kurang daripada tiga bulan) pada lima peratus berbanding 10 peratus perniagaan baharu (perniagaan berusia antara tiga dan 42 bulan) yang merupakan purata serantau kedua tertinggi di dunia.
Beliau berkata kadar perniagaan yang telah kukuh pada 14.1 peratus adalah purata serantau tertinggi dan juga melangkaui purata GEM pada 8.4 peratus.
Dalam rantau pula, Thailand dan Vietnam adalah peneraju, diikuti Indonesia manakala Malaysia dan Singapura di belakang dengan paras keusahawanan lebih rendah pada semua peringkat perniagaan.
Kadar perniagaan yang telah kukuh di Thailand adalah baik pada 33.1 peratus berbanding hanya 2.9 peratus di Singapura.
#AEC #ASEAN #GEM #Global Entrepreneurship Monitor #Komuniti Ekonomi ASEAN
;