ASEAN perlu diketengahkan sebagai kuasa ketiga - Najib
Bernama
April 23, 2015 12:40 MYT
April 23, 2015 12:40 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata ASEAN perlu diketengahkan sebagai kuasa ketiga yang menjadi tumpuan komuniti perniagaan global yang kini dilihat lebih tertarik kepada pasaran seperti China dan India.
Beliau berkata ASEAN mampu muncul sebagai kuasa ekonomi yang cergas dan berpotensi besar bersandarkan kepada saiz penduduknya yang secara kolektif berjumlah 625 juta dan bertambahnya golongan kelas pertengahan.
"Saya hendak tonjolkan ASEAN sebagai kuasa ketiga, maknanya tumpuan tidak hanya diberi kepada negara-negara yang mana pasaran mereka itu besar seperti negara China dan India," jelasnya.
Najib ditemu bual Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di pejabat beliau di Putrajaya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dihoskan Malaysia pada 26 dan 27 April ini.
Perdana menteri yang juga menteri kewangan turut menekankan pentingnya pembangunan ekonomi negara ASEAN berlangsung secara inklusif dan seimbang.
Najib menarik perhatian bahawa mengurangkan jurang pembangunan sememangnya satu daripada agenda ASEAN dengan negara yang dilihat agak kebelakang diberi peluang untuk menyaingi termasuk dari segi pembangunan infrastruktur dan kesambungan.
"Usaha perlu kita lakukan di peringkat ASEAN tetapi peranan setiap kerajaan juga amat penting untuk menentukan tahap pembangunan dalam konteks negara masing-masing dapat dicapai. Kalau tak tinggi pun, sederhana tinggi," katanya.
Beliau berkata ASEAN secara kolektif menunjukkan pencapaian yang menggalakkan dengan kadar pertumbuhan lima hingga enam peratus setahun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$2.5 trilion.
Malaysia menjadi pengerusi ASEAN mulai 1 Jan tahun ini, mengambil alih daripada Myanmar.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, keanggotaan ASEAN kini turut merangkumi Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.