ASEAN mampu jadi pasaran keempat terbesar dunia menjelang 2050
Luqman Hariz
Ogos 13, 2015 07:51 MYT
Ogos 13, 2015 07:51 MYT
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) berupaya menjadi pasaran keempat terbesar di dunia menjelang 2050.
Menurut Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat, Roy Michael, ASEAN yang mempunyai 600 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM2.4 trilion pada 2013, kini sudah pun menjadi pasaran ketujuh terbesar dunia.
Tambah Michael lagi, terdapat peningkatan dalam usaha mengintegrasikan ekonomi kesemua negara anggota di bawah pelan tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
"Sekiranya trend ini berterusan, ASEAN berpotensi menjadi pasaran keempat terbesar dunia menjelang 2050," kata beliau ketika berucap di Forum ASEAN-US Trade Winds di kedutaan Malaysia di Washington Rabu lalu.
Forum ASEAN-US Trade Winds bertujuan meningkatkan pemahaman antara Amerika Syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara-negara ASEAN. Antara fokus perbincangan adalah kemajuan terkini AEC dan cabaran dalam merealisasikan penyepaduan ekonomi ASEAN
Turut serta adalah wakil-wakil kedutaan Myanmar dan Filipina, Jabatan Perdagangan US, Agensi Pembangunan Antarabangsa US (USAID), Pusat Analisis Naval (CNA), dan Majlis Perniagaan US-ASEAN.
Dalam pada itu, ASEAN turut mencatatkan lebih AS$1.2 trilion dalam jumlah eksport barangan, menjadikannya rantau ekonomi paling terbuka di dunia.