ASEAN: Jadikan perang dagang AS-China sebagai peluang

Harits Asyraf Hasnan
November 13, 2018 20:12 MYT
MAHATHIR: Ini bukan masa untuk menutup pintu dengan melaksanakan pendekatan mengawal perdagangan.
Krisis perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan mewujudkan kesan domino kepada rantau Asia Tenggara.
Justeru, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara-negara terlibat untuk tidak menutup pintu perdagangan mereka hanya kerana ingin menyelamatkan ekonomi mereka.
Sebaliknya, beliau menggalakkan negara-negara lain untuk terlibat sama dalam mencari penyelesaian kepada krisis ini melalui dialog bersama di pelbagai peringkat.
“Tekanan perdagangan antara dua negara kuasa besar akan menyebabkan berlakunya kesan domino yang akan memberi impak kepada kesan perdagangan sekali gus menyebabkan negara-negara membangun mengambil langkah berjaga-jaga terhadap negara maju.
“Ini bukan masa untuk menutup pintu dengan melaksanakan pendekatan mengawal perdagangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama penutupan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2018 di sini hari ini.
Justeru, beliau yang melihat ASEAN sebagai rantau yang mempunyai banyak peluang, dianugerahkan sumber asli dan bentuk geografi yang makmur, berharap supaya rakyatnya yang rajin serta berkemahiran untuk terus memacu gabungan itu terus ke hadapan berdepan cabaran global semasa.
#Amerika Syarikat #ASEAN #China #ekonomi #pelaburan #perdagangan #Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2018 #Tun Dr Mahathir Mohamad
;