ASEAN akan mulakan rundingan DEFA bagi tingkatkan ekonomi digital, jana AS$2 trilion menjelang 2030
Bernama
Ogos 20, 2023 05:45 MYT
Ogos 20, 2023 05:45 MYT
JAKARTA: Negara-negara anggota ASEAN sedang membuat persiapan untuk memulakan rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) pada akhir tahun, untuk memacu ekonomi digital mereka dan menjana AS$2 trilion (AS$1=RM4.64) menjelang 2030.
Kajian mengenai DEFA ASEAN, yang menyasarkan landskap digital yang harmoni di luar perjanjian sedia ada, telah disahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-55 di Semarang, Indonesia, menurut Sekretariat ASEAN dalam kenyataan pada Ahad.
Berdasarkan analisis Boston Consulting Group, ekonomi digital ASEAN boleh meningkat tiga kali ganda menjelang 2030 kepada hampir AS$1 trilion, dengan peraturan DEFA yang progresif berpotensi menggandakan sumbangan nilai ini kepada AS$2 trilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang mewakili Malaysia pada mesyuarat itu, berkata kajian tersebut telah mengenal pasti sembilan bidang utama yang perlu diberi tumpuan oleh ASEAN apabila memulakan rundingan DEFA, termasuk e-dagang, pembayaran rentas sempadan, aliran data dan perlindungan serta mobiliti bakat serantau.
"Bagi modal insan, DEFA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada profesional untuk memajukan kerjaya mereka dan membangunkan kemahiran baharu serta latihan semula dan pembelajaran sepanjang hayat melalui platform digital," katanya.
DEFA akan dilancarkan secara rasmi pada mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-23 dan pengiktirafan oleh Pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak serantau ke-23 di sini bulan depan.
Sementara itu, ASEAN Tariff Finder turut dilancarkan di luar Mesyuarat AEM dan Perundingan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.
Platform dalam talian, tariff-finder.asean.org, menyokong peniaga dalam memaksimumkan manfaat Perjanjian Perdagangan Bebas dan meninjau pasaran di 160 negara.
-- BERNAMA