Argentina nyata sokongan, jaga kepentingan pelaburan Malaysia di negara itu - PM

Bernama
Mac 18, 2024 22:59 MYT
Anwar berkata, perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Argentina Diana Mondina di pejabatnya di Putrajaya hari ini. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan Argentina menyatakan sokongan terhadap pelaburan Malaysia di negara itu dan bersetuju untuk menjaga kepentingan pelaburan yang sedang dan telah dirancang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi catatan di laman Facebook malam ini, Anwar berkata, perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Argentina Diana Mondina di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
"Kesempatan yang ada ini kami gunakan untuk menyentuh perihal perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu, ekonomi digital, pertanian dan industri halal selain pelanjutan tempoh visa," kata beliau.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut mengupas konflik Palestin-Israel dan menggesa agar Argentina mendukung usaha ke arah mencapai gencatan senjata serta menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA
#Malaysia #pelaburan #Argentina #diana mondina
;