Argentina benarkan sistem perbankan guna mata wang yuan

Astro Awani
Julai 2, 2023 06:30 MYT
Menurut data Kementerian Ekonomi Argentina, nilai import Argentina yang diselesaikan dalam renminbi menyumbang 19 peratus daripada jumlah import negara itu bagi April dan Mei lalu. - Gambar fail REUTERS
BANK Pusat Argentina minggu lalu mengumumkan akan membenarkan sistem perbankan negara itu menerima deposit mata wang yuan, sekali gus membenarkan bank komersial negara itu membuka akaun pelanggan dalam mata wang tersebut.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata, langkah itu bertujuan memudahkan penggunaan renminbi China secara meluas dalam perdagangan asing dan pasaran kewangan tempatan Argentina.
Pada awal Jun, Bank Pusat China memperbaharui perjanjian pertukaran mata wang dua hala dengan Bank Pusat Argentina.
Perjanjian itu melibatkan komitmen sebanyak 130 bilion yuan (kira-kira AS$18.28 bilion), atau 4.5 trilion peso Argentina.
Ia akan sah selama tiga tahun, menurut People's Bank of China.
Pada April, kerajaan Argentina mengumumkan untuk membayar import dari China dalam mata wang China.
Menurut data Kementerian Ekonomi Argentina, nilai import Argentina yang diselesaikan dalam renminbi menyumbang 19 peratus daripada jumlah import negara itu bagi April dan Mei lalu.
Argentina berkata, ini akan membantu negara itu meningkatkan rizab pertukaran asingnya, mengekalkan skala importnya dan memudahkan perdagangan dua hala dengan China.
Menteri Ekonomi Sergio Massa dalam reaksinya berkata, Argentina sedang mempertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutang luar negerinya yang akan tamat pada akhir bulan ini dalam renminbi.
Ini adalah kali pertama negara itu menggunakan mata wang China untuk membayar hutang asing.
#Argentina #perbankan #renminbi China #mata wang Yuan
;