Arab Saudi naikkan harga petrol sehingga lebih 50 peratus

Agensi
Disember 29, 2015 11:26 MYT
Harga minyak global menjunam daripada AS$125 setong yang direkod pada Mac 2012 kepada hanya sekitar AS$37 sekarang. - Gambar Fail
Arab Saudi mengambil keputusan untuk menaikkan harga petrol sehingga lebih 50 peratus susulan pemotongan subsidi selepas negara itu mencatatkan belanjawan defisit.
Selain petrol, harga diesel, tarif elektrik dan air juga akan dinaikkan.
Media tempatan negara itu melaporkan biarpun harga petrol meningkat 50 peratus, penganalisis menyatakan harga berkenaan masih di paras terendah di dunia dan termurah di kalangan negara Teluk.
Kabinet memutuskan harga petrol gred tinggi naik AS0.24 seliter berbanding AS$0.15 sebelum ini. Manakala harga baru petrol gred rendah ialah AS$0.20 seliter berbanding AS$0.12 seliter, iaitu peningkatan kira-kira 67 peratus.
Bajet defisit Arab Saudi melonjak kepada AS$98 bilion tahun ini berikutan penyusutan drastik harga minyak dunia.
Dalam pembentangan bajet pertama di bawah pemerintahan Raja Salman Abdul Aziz, pendapatan kerajaan berkurang kepada AS$162 bilion dolar, 15 peratus lebih rendah daripada unjuran rasmi.
Penganalisis meramalkan defisit Arab Saudi akan lebih buruk pada tahun hadapan. Sekiranya ini terjadi, maka Arab Saudi berdepan defisit untuk tiga tahun berturut-turut.
Harga minyak global menjunam daripada AS$125 setong yang direkod pada Mac 2012 kepada hanya sekitar AS$37 sekarang.
Berikutan itu hasil minyak yang banyak menyumbang kepada pendapatan Arab Saudi berkurang 23 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
#Arab Saudi #minyak
;