AR FEST KL: Hidupkan suasana kota raya Kuala Lumpur menerusi Teknologi Maya Terimbuh
Nik Nuur Azam Shah
September 20, 2024 19:43 MYT
September 20, 2024 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: 10 lokasi di seluruh pusat bandar raya Kuala Lumpur akan dihiasi dengan lapisan-lapisan interaktif yang berwarna-warni dengan penggunaan Teknologi Realiti Maya Terimbuh atau Augmented Reality iaitu singkatannya AR. AR merupakan teknologi yang membolehkan pengunjung melihat objek maya tiga dimensi pada gambar atau buku fizikal.
Ringkasan AI
- Festival AR FEST KL akan menghiasi 10 lokasi di Kuala Lumpur dengan teknologi Augmented Reality (AR), menawarkan pengalaman interaktif melalui mural dan arca digital, serta cerita sejarah yang dihidupkan oleh kecerdasan buatan (AI).
- Empat program teras festival termasuk StreetARt, ARca, ARworks, dan CheritAR, yang akan dipamerkan di mercu tanda ikonik seperti Balai Seni Lukis Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, dan Jalan Petaling.
- Festival berlangsung dari 30 Ogos hingga 30 November 2024, menggabungkan inovasi teknologi dengan seni untuk memperlihatkan bandar Kuala Lumpur sebagai kanvas kreativiti digital.
Ini sekali gus mengubah menjadi taman permainan digital yang lebih bertenaga bersempena Festival Realiti Terimbuh Kuala Lumpur (Augmented Reality Festival Kuala Lumpur, AR FEST KL) menerusi lebih 30 pengaktifan teknologi AR.
Festival ini buat julung kalinya diadakan dengan mengetengahkan empat elemen yang cukup menarik antaranya menampilkan mural ‘bernyawa’ dan karya seni halus, arca digital monumental serta penceritaan sejarah secara interaktif daripada kecerdasan buatan (AI). Ia akan membawa penonton menerokai bandar menerusi lensa baharu dengan menggabungkan masa lalu, masa kini dan masa depan.
Terdapat empat program teras AR FEST KL iaitu StreetARt; Arca; ARworks dan CheritAR yang akan menjadi lebih bermakna apabila merentasi beberapa mercu tanda paling terkenal di Kuala Lumpur, bermula dari Balai Seni Lukis Negara; Muzium Tekstil Negara; Bangunan Sultan Abdul Samad dan Air Pancur Victoria sehingga ke jalan-jalan yang sibuk di Jalan Sultan, Lorong Panggung, Jalan Petaling dan Jalan Tun H.S Lee. Karya seni digital juga boleh didapati terletak di antara sudut dan celah ‘Lorong Hantu Kecil’ atau turut dikenali sebagai Kwai Chai Hong, REXKL, kompleks GMBB dan The Starhill.
StreetARt menyeru rakyat Malaysia untuk menyelami semula bandar ini dan mencipta naratif bandar baharu dengan gabungan mural dalam lukisan kanvas interaktif melalui teknologi AR. Karya menarik pelukis mural seperti Cloakwork, Co2, JimmyGummy, Kenji Chai & Quiccs, Norman Khek, Wan Jepah dan ramai lagi kini boleh diterjemah semula melalui teknologi AR, membuka kisah yang lebih mendalam dan bertenaga serta mempunyai elemen digital yang menyeronokkan.
ARca pula menawarkan pengembaraan berasaskan geolokasi, di mana arca digital yang lebih besar berbanding reka bentuk sebenar - daripada Wau Bulan yang ikonik, kereta Kancil, hutan hujan tropika, motif batik, Orang Utan serta kenangan nostalgia zaman kanak-kanak yang semuanya bersedia menerima kehadiran pengunjung.
Antara pameran AR FEST KL yang paling menarik ialah ARtworks, di mana pertemuan tradisi dan
teknologi. Pameran ini diadakan dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara yang menjadi nadi
warisan seni Malaysia. Melalui integrasi inovasi, lima karya seni halus ikonik - “Pago-Pago” (Abdul Latiff Mohidin); “Malam di Langkawi” (A.J. Rahman); “Pandangan Kamera Kumpulan Kanak-kanak Sekolah Ketawa” (Kok Yew Puah); “Malaysian Life” (Chuah Thean Teng) dan “Enrique de Malacca (Ahmad Fuad Osman), ia dilengkapi elemen interaktif untuk menawarkan penonton pengalaman terbaik demi menghargai dan berhubung dengan intipati semua karya agung ini.
CheritAR berusaha untuk membentuk semula bagaimana naratif Kuala Lumpur yang kaya ini
diterokai melalui ahli sejarah avatar berkuasa AI. Terletak di tiga mercu tanda bersejarah - Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Tekstil Negara dan Air Pancut Victoria, pelawat dapat menyelami kisah masa lalu tentang bandar yang menawan melalui penceritaan animasi dan teknologi interaktif, serta mengubah mereka yang berjalan kaki melihat kawasan bersejarah Dataran Merdeka sebagai perjalanan menarik.
Festival Realiti Terimbuh Kuala Lumpur atau dikenali AR FEST KL, ialah festival digital pertama seumpamanya yang dipersembahkan dalam bentuk teknologi Realiti MayaTerimbuh (AR) atau Augmented Reality.
Berlangsung dari 30 Ogos hingga 30 November 2024, festival ini akan menghimpunkan pihak professional dalam industri, artis, pelajar dan orang ramai untuk menerokai inovasi teknologi serta merasai pengalaman bandar Kuala Lumpur sebagai kanvas dinamik kreativiti dan daya hidup budaya yang mengasyikkan.
AR Fest Kuala Lumpur yang julung kali diadakan akan mempamerkan program menarik termasuk StreetARt, ARca, ARworks dan CheritAR. Untuk maklumat lanjut, layari https://arfestkl.com/ dan IG @arfestkl.
#AR FEST KL
#Augmented Reality
#realiti maya
#AR
#Kuala Lumpur
#teknologi AR
#StreetARt
#arca
#ARworks
#CheritAR
#Realiti Maya Terimbuh