Apple, Samsung didenda kerana 'paksa' pelanggan beli produk terbaharu

Astro Awani
Oktober 24, 2018 22:49 MYT
Kedua-dua syarikat itu didenda kerana dengan sengaja tidak memberikan kemaskini sistem operasi pada produk lama mereka. - Gambar hiasan
Syarikat telekomunikasi gergasi Apple dan Samsung didenda berjuta Euro oleh pihak berkuasa Itali atas kesalahan memaksa orang ramai membeli produk terbaharu mereka.
Pihak Berkuasa Anti-Persaingan Itali dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kedua-dua syarikat itu dengan sengaja tidak memberikan kemaskini sistem operasi pada produk lama mereka.
Apple didenda 10 juta Euro atau RM48 juta manakala Samsung, 5 juta Euro (RM24 juta).
Menurut kenyataan itu lagi, Apple dikenakan denda lebih tinggi kerana syarikat tersebut gagal memberitahu pelanggan mereka tentang jangka hayat bateri iPhone.
Samsung memberitahu pemilik telefon Note 4 untuk memasang versi baru sistem operasi Android Google yang dikhususkan untuk telefon model lebih baru, Note 7, tetapi ia mengakibatkan kelambatan sistem model lama itu.
BACA: Sengaja perlahankan iPhone, Apple berdepan sembilan saman
Begitu juga, Apple memberitahu pemilik iPhone 6 supaya memasang sistem operasi yang direka untuk iPhone 7, membawa kepada masalah bagi pemilik model lama itu.
Pihak berkuasa Itali itu telah memulakan penyiasatan pada Januari susulan aduan pelanggan.
#Apple #denda #iPhone #kemaskini #Note 7 #produk #Samsung #sistem operasi #telefon pintar