Apple henti projek hasil kereta elektrik
Amanz
Februari 28, 2024 10:50 MYT
Februari 28, 2024 10:50 MYT
KALI pertama ura-ura mengenai Apple ingin menghasilkan kereta elektrik (EV) mula didengari pada tahun 2015 di bawah nama Project Titan.
Projek ini menghadapi pelbagai rintangan seperti kehilangan rakan pengeluaran Hyundai, Sir Jony Ive meninggalkan syarikat, rahsia dicuri kakitangan dan pihak pengurusan meletakkan jawatan.
Bloomberg pagi ini melaporkan Apple telah menghentikan Project Titan.
Kakitangan Project Titan telah diberikan notis projek dihentikan semalam dengan mereka akan diberikan tugasan baharu membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) generatif kendiri Apple.
Apple turut dipercayai akan membuang sebahagian pekerja yang terlibat dengan Project Titan seperti yang telah dilakukan sebelum ini.
Skop Project Titan berubah beberapa kali dengan sasaran asal ialah menghasilkan EV swapandu sepenuhnya.
Tetapi teknologi swapandu pada ketika ini masih terhad ke Tahap 3 sahaja menyebabkan Apple mengubah sasaran ke swapandu Tahap 2+ sementara kereta ditangguh pelancarannya ke 2028.
Penangguhan demi penangguhan dilakukan dengan projek dipercayai dimulakan semula beberapa kali dan tidak dibantu oleh Sir Jony Ive meninggalkan syarikat dan ketua projek berhijrah ke Rivian.
Tidak seperti Huawei dan Xiaomi, Apple ingin membangunkan sendiri EV mereka tanpa bantuan syarikat automotif yang lebih berpengalaman.
Xiaomi misalnya telah mula menjual EV pertama mereka SU7 dalam masa tiga tahun sahaja selepas projek dimulakan.