Aplikasi 'MyProton Official' buat pemilik kereta Proton

Bernama
Ogos 9, 2016 08:50 MYT
Pelanggan boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat temu janji servis kereta atau menguji pandu kereta. - Gambar fail
Proton Holdings Bhd memperkenalkan 'MyProton Official', aplikasi mudah alih yang boleh didapati melalui 'Google Play Store' dan 'Apple App Store', sebagai satu lagi kemudahan tambahan untuk pemilik kereta Proton.
Menurut kenyataan Proton, pelanggan boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat temu janji servis kereta atau menguji pandu kereta, berhubung dengan pusat panggilan Mobile Assist, memperoleh maklumat mengenai kesemua model Proton, mengemas kini promosi dan acara terkini serta mengetahui semua lokasi cawangan pusat jualan dan servis.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata aplikasi mudah alih itu merupakan satu perkembangan biasa untuk berhubung dengan pelanggan yang semakin sofistikated secara efektif.
"Melalui aplikasi mudah alih 'MyProton Official', pelanggan kami kini boleh menggunakan telefon pintar masing-masing, antaranya, untuk membuat temu bual bagi servis kereta dan menguji pandu kereta Proton," katanya.
Pada fasa pembangunan seterusnya, aplikasi ini akan menyediakan akses mudah kepada pelanggan untuk menyemak status tempahan kereta masing-masing, mengetahui servis sebelum ini dan memperoleh peringatan bagi servis kereta akan datang.
#Aplikasi MyProton #MyProton Official #pemilik kereta Proton #Proton Holdings Bhd
;