Aplikasi baharu didakwa curi data, pelanggan dan perniagaan MyCar

Astro Awani
November 22, 2020 13:30 MYT
Aplikasi MyCar yang lama tidak dapat berfungsi lagi kerana kontraktor pembangunan aplikasi tersebut memutuskan menamatkan perjanjian dan melantik satu operator baharu sejak Ogos lepas. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR : Pengasas aplikasi MyCar, Mohd Noah Maideen berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat aplikasi kerana didakwa mencuri data, pelanggan dan perniagaan, MyCar.
Dakwanya, kontraktor pembangunan aplikasi tersebut telah menyalah guna MyCar versi lama dan kemudian bekerjasama pula dengan operator aplikasi baharu.
Masa yang sama, MyCar telah pun melancarkan aplikasi versi barunya yang di kenali sebagai MyCar SuperApp untuk menggantikan aplikasi lama yang telah di tamatkan kontrak oleh kontraktor aplikasi lama tersebut.
“Perbuatan mencuri data dan pelanggan ini adalah tidak bermoral dan beretika serta merosakkan dan mencacatkan industri Gig-Ekonomi yang sedang pesat membangun dan berkembang kini.
“MyCar juga mendapati pelbagai alasan diberikan dalam forum sosial media untuk menghalalkan perbuatan mencuri data dan pelanggan ini.
“MyCar telah pun membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, MyCar juga meminta pengguna tidak terpedaya dengan taktik meminta pengguna MyCar untuk memuat turun aplikasi itu.
Jelasnya, aplikasi MyCar yang lama tidak dapat berfungsi lagi kerana kontraktor pembangunan aplikasi tersebut memutuskan menamatkan perjanjian dan melantik satu operator baharu sejak Ogos lepas.
“Mengikut perjanjian, jika perjanjian ditamatkan, kontraktor tidak boleh sama sekali dengan apa cara sekalipun mencuri dan menggunakan data MyCar untuk kegunaan sendiri mahupun untuk pihak syarikat lain.
“Sebaliknya apa yang berlaku ialah perbuatan mencuri di siang hari ini dilakukan oleh kontraktor dan mengalihkan semua pelanggan MyCar kepada operator aplikasi itu,” dakwanya.
Untuk rekod, MyCar adalah e-hailing kedua terbanyak selepas Grab dan merupakan syarikat 100 peratus milik rakyat tempatan.
“Sekali lagi MyCar mengharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tersebut akan perbuatan tak bermoral ini.
“Orang ramai juga jangan terpedaya dan jangan menyokong tindakan mencuri perniagaan dan pelanggan syarikat lain,” katanya lagi.
#MyCar #SKMM #Mohd Noah Maideen #polis #rakyat #Malaysia #Media #e-hailing #kereta #tindakan #curi data #grab #milik tempatan
;