APEC: Malaysia galakkan penubuhan platform kolaborasi untuk tangani keperluan kewangan
Bernama
November 19, 2022 18:45 MYT
November 19, 2022 18:45 MYT
BANGKOK: Malaysia menggalakkan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk menyediakan platform kerjasama yang menangani keperluan kewangan dan menyokong penyertaan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam urus niaga perdagangan antarabangsa.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata MSME, tulang belakang kepada kebanyakan negara anggota APEC, mewakili kira-kira 95 peratus perniagaan global dan menyumbang kira-kira 60 peratus pekerjaan merentas ekonomi di semua peringkat pembangunan, ia adalah enjin pertumbuhan rantau ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pandemik telah menyebabkan PMKS beroperasi dalam keadaan kekangan aliran tunai.
"Sehubungan itu, Malaysia mahu menekankan kepentingan saranan Majlis Penasihat Perniagaan (ABC) APEC kepada pemimpin dan menggalakkan ekonomi APEC mempertimbangkan penubuhan platform kerjasama yang menghimpunkan pihak berkepentingan sektor awam dan swasta untuk meneroka penyelesaian yang ketara," katanya.
Mohd Zuki yang dalam kapasitinya sebagai Wakil Khas Perdana Menteri menyampaikan nota campur tangan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-29: "Retreat Session 2: Sustainable Trade and Investment", di sini, hari ini.
Untuk mencapai ekonomi serantau yang dinamik dan saling memerlukan seperti yang dinyatakan dalam Wawasan Putrajaya 2040 pada persidangan APEC Tahun 2020, Mohd Zuki berkata asas yang kukuh untuk pertumbuhan, disokong dengan baik oleh penggiat ekonomi yang berdaya saing khususnya PMKS adalah penting.
Daripada perspektif dasar, beliau berkata APEC boleh mengenal pasti penyelesaian khusus bagi cabaran utama yang dihadapi oleh PKS melalui langkah pemudah cara perdagangan yang dipertingkat, memasukkan perkara penting dalam pembangunan, kawal selia serta akses yang lebih baik kepada kewangan dan pembayaran rentas sempadan.
"Melengkapkan dasar tersebut, APEC juga boleh mempertimbangkan penyelesaian operasi yang lebih bersasar selaras dengan saranan ABAC yang memfokuskan kepada menggalakkan transformasi digital PMKS, meningkatkan keterangkuman melalui pemerkasaan ekonomi wanita, menggalakkan amalan mampan dan membina kapasiti kewangan PMKS."
Sebagai forum kerjasama ekonomi serantau yang juga berfungsi sebagai inkubator idea, Mohd Zuki berkata APEC berada pada kedudukan strategik, bukan sahaja melengkapkan kerja yang sedang dijalankan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tetapi juga meneroka dan membangunkan inisiatif berkaitan PMKS yang menjangkaui ruang lingkup sistem perdagangan pelbagai hala.
Beliau berkata APEC kekal sebagai pelopor idea penerokaan dan landasan ujian untuk inisiatif penerokaan merangkumi banyak bidang yang diminati oleh PMKS seperti pendigitalan, kemudahan perdagangan dan daya tahan rantaian bekalan.
"Ia juga merupakan bidang perbincangan dalam APEC yang telah berkembang dan matang, sudah mencapai kemajuan melebihi keadaan semasa di WTO," katanya.
Mohd Zuki berkata idea dan inisiatif baharu adalah amat penting kepada PMKS, cadangan sedemikian sering boleh diterjemahkan kepada penyelesaian berasaskan dasar yang memastikan kesinambungan dan daya tahan operasi perniagaan mereka.
Di bawah kepengerusian Thailand dan dipandu oleh tema APEC 2022 iaitu 'Open. Connect. Balance', Mesyuarat Pemimpin Ekonomi merupakan sidang kemuncak bersemuka pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun.
Ia berlangsung dari 14 hingga 19 November di Queen Sirikit National Convention Centre, Bangkok.
-- BERNAMA