APEC: Deklarasi Kuala Lumpur 2020 penunjuk jalan kepada usaha pemulihan
Hasimi Muhamad
November 21, 2020 17:08 MYT
November 21, 2020 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang dimeterai pemimpin 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) disifatkan sebagai penting dalam usaha mengekang pandemik COVID-19, dan pemulihan semula ekonomi Asia Pasifik.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Fuad Othman berkata, deklarasi tersebut akan menjadi penunjuk jalan kepada semua usaha ekonomi APEC dalam memacu pemulihan akibat krisis kesihatan awam.
Selain itu, beliau berpandangan kesepakatan 21 negara anggota sangat mustahak memandangkan hampir separuh nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia disumbangkan oleh ekonomi APEC.
"Sebab tanpa memutuskan atau melandaikan rantaian (COVID-19), negara-negara ini masih tidak boleh membuka sempadan-sempadan negara.
"Maka, ia akan merencatkan program-program pembangunan yang lain. Selain itu, saya kira Deklarasi Kuala Lumpur juga telah menunjukkan peri pentingnya bagaimana negara-negara APEC membina kembali ekonomi yang telah terkesan teruk.
"Kalau kita lihat kebanyakan negara di dunia mempunyai KDNK ataupun pembangunan yang hampir-hampir negatif," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Sabtu.
Ditanya mengenai cabaran mendepani landskap ekonomi yang dinamik, Mohd Fuad berkata, program-program pembangunan semula perlu dilaksanakan secara tuntas dan segera di seluruh negara.
Ini kerana keadaan ekonomi dunia yang bersifat saling terhubung, tambahnya.
"Maka, sekiranya satu atau dua negara sahaja yang kembali berada dalam keadaan normal seperti sebelum COVID-19 (melanda), tetapi negara-negara lain masih lagi bermasalah, maka saya kira ekonomi dan aktiviti kewangan tidak dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas.
"Oleh itu, saya kira semua negara perlu berusaha dan memikirkan cara yang terbaik untuk membina kembali ekonomi, boleh menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi negara, intra ekonomi, tetapi inter-ekonomi, ekonomi serantau dan global.
"Jadi, saya kira setiap negara perlu mempunyai perancangan, yang boleh menuju ke arah pembinaan semula ekonomi negara masing-masing," katanya.
Deklarasi Kuala Lumpur dimeterai dengan meletakkan empat keutamaan yang akan memandu rantau Asia Pasifik ke arah pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terlindung.
Empat keutamaan tersebut adalah memerangi dan mengurangkan impak COVID-19; menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi serta memacu kemampanan inovatif.
#KDNK
#APEC
#Deklarasi Kuala Lumpur 2020
#Malaysia APEC
#COVID-19
#Prof Dr Mohd Fuad Othman
#Muhyiddin Yassin