APEC 2023: Malaysia buat keputusan satu, dua hari lagi - PM
Astro Awani
November 6, 2023 12:54 MYT
November 6, 2023 12:54 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat keputusan dalam tempoh satu atau dua hari lagi berkenaan penglibatannya bagi Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) 2023.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dijadual menghadiri pertemuan dengan 21 pemimpin negara Asia Pasifik itu.
"Saya sedang mengkoordinasi dengan negara lain. Buat masa ini, majoriti (negara anggota) akan hadir. Saya akan teliti perkara ini dalam satu atau dua hari," katanya kepada media selepas merasmikan Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023, di ibu negara. pada Isnin.
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik.
AELW tahun ini dijadual berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat dari 11 hingga 17 November ini.
Sebanyak 21 anggota ekonomi APEC merangkumi hampir 40 peratus populasi global dan menjangkau 50 peratus perdagangan global.
Kesemua 21 negara ekonomi APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.