APEC 2020: Pengukuhan integrasi ekonomi serantau jadi fokus
Harits Asyraf Hasnan
November 16, 2020 06:45 MYT
November 16, 2020 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China tidak menghalang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memuktamadkan perkara penting dalam menentukan kelangsungan ekonomi serantau.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara perkara yang menjadi perdebatan adalah melibatkan usaha mengukuh sistem perdagangan multilateral dalam kalangan anggota APEC.
"Terdapat beberapa masalah yang dibangkitkan oleh anggota semasa mesyuarat hari ini.
"Salah satu perkara yang mendapat banyak perhatian dan pertimbangan adalah berkait tahap pelaksanaan yang harus dicapai menerusi Visi APEC Pasca 2020.
"Terdapat juga pandangan perbezaan mengenai perlunya memperkuat sistem perdagangan multilateral dan mengukuhkan integrasi ekonomi serantau melalui perjanjian perdagangan bebas yang sedang dilaksanakan," katanya pada sidang media secara maya awal hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata Malaysia selaku tuan rumah APEC 2020 berusaha menjadi sebagai orang tengah terbaik dalam mencari titik persamaan berkait pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
"Sebagai inkubator idea, APEC menyediakan platform yang sesuai untuk ekonomi untuk meneroka inisiatif perdagangan dan pelaburan baru.
"Secara semula jadi, APEC dilatari dengan kepelbagaian. Terdapat interaksi dinamik berterusan antara ekonomi yang telah maju dan ekonomi yang sedang membangun.
"Ini telah menyebabkan kita perlu mencapai keseimbangan melibatkan keutamaan pesaing dalam ekonomi rantau ini," katanya.
Ujarnya, prinsip asas APEC yang berteraskan sukarela, tidak mengikat dan berdasarkan kata sepakat menjadikan ia sebagai sebuah kesatuan yang unik.
Malah, beliau menyifatkan kepelbagaian di dalam APEC menjadi kekuatan kepada kesatuan ekonomi itu sama ada kecil atau besar diberi perhatian yang sama rata.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang turut diadakan secara maya melibatkan kesemua menteri dari 21 ekonomi APEC, pemerhati dan agensi pelaksana antarabangsa.
#APEC 2020
#APEC
#ekonomi
#pelaburan
#perdagangan
#perang dagang
#Amerika Syarikat
#China
#Azmin Ali
#orang tengah