APEC 2020: Negara APEC yang sertai RCEP dijangka patuh pada sistem WTO - Penganalisis

Firdaus Azil
November 20, 2020 21:33 MYT
Prof Dr Sufian Jusoh berkata, situasi itu adalah disebabkan ada antara kalangan anggota RCEP, bukan sebahagian daripada APEC seperti Kemboja, Myanmar, dan Laos.
KUALA LUMPUR: Negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka akan terus menghormati dan menggunapakai sistem perdagangan bebas yang dibina melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM Prof Dr Sufian Jusoh berkata, situasi itu adalah disebabkan ada antara kalangan anggota RCEP, bukan sebahagian daripada APEC seperti Kemboja, Myanmar, dan Laos.
Ujarnya lagi, dengan pematuhan terhadap sistem perdagangan bebas oleh WTO, ia akan memudahkan usaha penyelesaian terhadap sebarang pertikaian yang mungkin timbul dalam RCEP pada masa akan datang.
“Jadi, saya jangkakan bahawa pada masa akan datang selepas daripada malam ini, ekonomi APEC akan terus memastikan bahawa mereka menghormati peraturan (WTO) ini.
“Mereka perlu sekiranya terdapat sebarang pertikaian, merujuk kepada sistem multilateral ataupun sistem yang dibina dalam sistem perdagangan bebas ataupun perjanjian perdagangan bebas yang ada di antara ekonomi APEC ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan pembukaan APEC 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, yang menekankan keperluan usaha anggota secara konstruktif bagi memastikan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, inklusif dan mampan.
Muhyiddin dalam ucapannya berkata, Malaysia mencadangkan tiga keutamaan untuk manfaat anggota APEC iaitu komitmen terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berdasarkan peraturan; peningkatan ekonomi digital; dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
Dalam pada itu, Sufian berkata, beliau menjangkakan Matlamat Bogor juga akan diperhalusi bagi memastikan sistem ekonomi menjadi lebih baik dalam suasana pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
“Antara yang penting ialah fasilitasi perdagangan, kerana sepanjang COVID-19 ini, kita lihat ada beberapa ekonomi APEC yang mengambil tindakan tidak membenarkan barangan dan makanan keluar dari negara mereka.
“Jadi ini telah menimbulkan sedikit kekeliruan dan kerisauan antara negara ekonomi seluruh dunia, dan khususnya ekonomi APEC, kerana kebimbangan terhadap kekurangan makanan dan juga kekangan dan peraturan perdagangan yang agak terhad,” katanya lagi.
BACA: APEC 2020: Malaysia cadang tiga keutamaan rangkumi semua aspek ekonomi
Selain itu, Sufian berkata, perbincangan APEC juga perlu menjurus ke arah memperbaiki fasiliti pelaburan bagi memastikan ianya dapat bergerak lancar antara negara anggota.
“Saya juga ingin melihat kepada bagaimana kemakmuran bersama ini dilaksanakan di keseluruhan ekonomi APEC supaya apa yang dibincangkan sepanjang tahun ini contohnya Beyond GDP, Responsible Business and Investment, Connectivity, dapat dilaksanakan.
Selain itu, perlu dipastikan ianya bukan sahaja dinikmati oleh kerajaan ataupun syarikat-syarikat besar, tetapi juga oleh masyarakat dan juga syarikat perdagangan kecil dan sederhana,” katanya lagi.
#Prof Dr Sufian Jusoh #IKMAS #UKM #APEC #RCEP #WTO #perdagangan bebas #pematuhan #sistem multilateral #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #APEC 2020 #ekonomi #kerajaan #pelaburan #menteri #COVID-19
;