APEC 2020: Azmin optimis Deklarasi Pemimpin mampu dicapai

Harits Asyraf Hasnan
November 16, 2020 07:21 MYT
Mohamed Azmin berkata Deklarasi Pemimpin APEC akan turut menentukan hala tuju pelan pemulihan dan pembangunan ekonomi APEC bagi tahun-tahun mendatang. - Foto Sekretariat APEC 2020
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali optimis Deklarasi Pemimpin APEC mampu dimuktamadkan tahun ini.
Jelasnya, kegagalan sejak dua tahun lalu itu telah menyebabkan para pemimpin APEC lebih komited dalam memastikan ia berjaya dicapai tatkala dunia kini berdepan pandemik COVID-19.
"Deklarasi Pemimpin akan memberi jaminan bahawa pemimpin ekonomi APEC tidak akan berpuas hati dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.
"Ini adalah ikrar berkenaan usaha berterusan para pemimpin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berterusan.
"Terutama sekali pada ketika ini dalam soal kesan COVID-19 yang telah mempengaruhi kesejahteraan dan kehidupan rakyat kita, ia (Deklarasi Pemimpin) akan menekankan tekad pemimpin kita dalam memastikan faedah jangka panjang bagi rakyat," katanya pada sidang media secara maya awal hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata deklarasi tersebut akan turut menentukan hala tuju pelan pemulihan dan pembangunan ekonomi APEC bagi tahun-tahun mendatang.
"Boleh saya katakan yang saya amat teruja dengan kemajuan positif diskusi setakat hari ini.
"Oleh kerana deklarasi itu adalah pernyataan konsensus yang mengambil kira pandangan dan kemampuan pelaksanaan semua ekonomi, kami menjangkakan bahawa pelaksanaan perkara dalam deklarasi itu tidak ditangguhkan dan dilaksana dengan lancar," katanya.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang turut diadakan secara maya melibatkan kesemua menteri dari 21 ekonomi APEC, pemerhati dan agensi pelaksana antarabangsa.
Deklarasi Pemimpin APEC gagal dicapai sejak penganjurannya pada 2018 di Papua New Guinea susulan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
Pada 2019 pula, penganjuran APEC terpaksa dibatalkan pada saat akhir susulan krisis domestik di Chile.
Malaysia selaku tuan rumah penganjuran bagi 2020 bukan sahaja perlu memuktamadkan Deklarasi Pemimpin, malah perlu merangka Visi APEC Pasca 2020, bagi menggantikan Matlamat Bogor yang matang pada penghujung tahun ini.
#APEC 2020 #APEC #MITI #Azmin Ali #pandemik #ekonomi #COVID-19 #Deklarasi Pemimpin #Mohamed Azmin Ali #faedah jangka panjang #Amerika Syarikat #Chile #China #rakyat #pemulihan ekonomi #pembangunan #Matlamat Bogor
;