Apa pun, Tan Sri Dr Zeti tetap sebagai wanita besi, secara positif

Najib Aroff
Mei 16, 2013 17:12 MYT
Semalam saya membuat liputan sempena pengumuman prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2013 di Bank Negara Malaysia (BNM).
Seperti biasa, pengumuman dibuat oleh Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, wanita yang sentiasa berbaju kurung biru dengan dua utas rantai mutiara dan sentiasa mengukir senyuman tatkala melangkah masuk ke dewan mesyuarat utama BNM.
Buat wartawan yang biasa membuat liputan di BNM, perjalanan program pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) biasanya akan bermula sekitar jam 3.30 petang di mana ketika itu, wartawan akan tiba dan menjamu selera.
Lima belas minit selepas itu, kesemua wartawan akan masuk ke bilik mesyuarat yang serba indah dan diikuti oleh kakitangan BNM.
Apabila semua bersedia, Gabenor akan masuk dan duduk dikerusinya di tengah tengah meja panjang lantas memulakan pembentangan.
Namun pengumuman semalam agak berbeza dengan pengumuman KDNK lain.
Kesemua wartawan yang hadir terkejut saat Gabenor membuka bicara, bukan kerana prestasi KDNK, sebaliknya kerana Gabenor memulakan pengumuman dengan Bahasa Melaysia.
Wartawan yang biasa membuat laporan Gabenor pasti tahu cara Zeti bercakap, dengan nada serak basah dan perlahan dan terukir senyuman sedikit, dan juga wartawan pasti tahu Zeti sentiasa mencuba dengan sedaya upaya untuk bercakap dalam Bahasa Malaysia.
Pada majlis itu juga wartawan sekali lagi tersenyum apabila Zeti berkata "okay, let me speak in English" selepas mengumumkan KDNK suku pertama.
Saya pasti akan ada pihak yang mengambil perkara ini secara negatif, tetapi bagi saya apabila mendengar Gabenor bercakap bahasa Malaysia, ia juga detik bermakna dan perlu saya kongsikan.
Saya keluar dewan mesyuarat dengan hati yang masih tersenyum walaupun keputusan KDNK suku pertama lebih rendah pada 4.1 peratus berbanding 5.1 peratus suku sama tahun sebelumnya.
Pengalaman kecil seperti ini kadang kala meninggalkan memori indah buat para wartawan.
Apa pun, saya tetap anggap Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai wanita besi, secara positif.
#Zeti