Apa masalahnya peniaga 'online' untuk daftar di SSM? - Hasan Malek
Astro Awani
Disember 19, 2014 17:22 MYT
Disember 19, 2014 17:22 MYT
"Saya tidak lihat apa-apa masalah berbangkit untuk peniaga online ini mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ini undang-undang dan mereka perlu ikut."
Itu tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek yang menyifatkan mereka yang berniaga di media sosial tanpa mendaftar dengan SSM dikategori sebagai peniaga haram.
Hasan mengulas rintihan beberapa peniaga 'online' yang menyifatkan media sosial merupakan satu-satunya cara untuknya memasarkan produk kreatif tanpa beban bayaran 'overhead'.
Jelas peniaga berkenaan, peraturan kerajaan yang mengatakan peniaga 'online' kini perlu mendaftar dengan SSM dilihat hanya akan melemahkan semangat keusahawanan dan perkembangan perniagaan mereka.
Pada Rabu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ahmad Bashah Md Hanipah memaklumkan sesiapa yang menjual barangan secara langsung menggunakan Facebook atau Instagram perlu mendaftar dengan SSM sekaligus dilakukan untuk melindungi pengguna daripada ditipu.
Namun Setiausaha Pemuda PKR Nor Hizwan Ahmad berkata, maklumat peribadi penjual mencukupi bagi mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang kes penipuan atau kesalahan.
Jelas Hasan lagi, keputusan itu dibuat untuk kepentingan peniaga 'online' dan mereka diminta melihat isu itu dari aspek positif.
"Kita tidak membebankan peniaga berkenaan. Itu peraturan yang harus diikuti, kita buat undang-undang sebegitu untuk melindungi semua pihak yang terbabit," jelasnya.
Dalam pada itu kata Hasan, laman web E–Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) membolehkan pengguna membuat aduan berkaitan sebarang aktiviti perniagaan yang tidak beretika.
"Sistem e-Aduan ini dibangunkan dan dilaksanakan untuk menyediakan satu medium menerima aduan melalui internet daripada orang ramai.
"Ia mengambil setiap aduan berkenaan jual beli bukan sahaja oleh peniaga di kedai malahan mereka yang menjalankan perniagaan 'online'," katanya.