Anwar-Wong boleh jadi pelopor bangun standard ESG serantau di Asia Tenggara - Penganalisis

Bernama
Mei 15, 2024 16:43 MYT
Singapura dan Malaysia berkedudukan baik untuk menggerakkkan agenda kemampanan mereka dan menetapkan duluan bagi kerjasama inisiatif hijau. - Facebook
KUALA LUMPUR: Kekuatan Malaysia dan Singapura dalam mengekalkan kemampanan harus dimanfaatkan untuk mempelopori standard penanda aras serantau bagi memacu perubahan penting di seluruh Asia Tenggara.
Penganalisis dari Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI), Anas Hayyan, percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat baharu di Singapura, Lawrence Wong boleh memulakannya dengan mewujudkan dan memperjuangkan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam ASEAN.
"ESG dalam ASEAN boleh diwujudkan dan diperjuangkan dengan memanfaatkan inisiatif padu yang dipertimbangkan oleh kedua-dua negara. Bergandingan bersama, Singapura dan Malaysia berkedudukan baik untuk menggerakkkan agenda kemampanan mereka dan menetapkan duluan bagi kerjasama inisiatif hijau.
"Perkongsian ini boleh menyokong potensi usaha sama untuk bukan sahaja meningkatkan hubungan dua hala, tetapi juga menyumbang kepada kepada matlamat alam sekitar global," katanya menambah, ekonomi hijau menyediakan pelbagai peluang kerjasama untuk diteroka dengan lebih jauh lagi oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata memorandum persefahaman baru-baru ini yang dimeterai Malaysia dan Singapura menyediakan platform bagi usaha sama untuk membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik dan meneroka teknologi hijau seperti pemerangkapan hidrogen dan karbon.
"Inisiatif ini penting untuk memanfaatkan keupayaan teknologi dan kewangan Singapura serta limpahan sumber asli dan kawasan geografi Malaysia yang besar. Sinergi ini bukan sahaja memudahkan penggunaan teknologi mampan tetapi juga menyokong integrasinya ke dalam ekonomi serantau yang lebih meluas," katanya.
Anas berkata, memandangkan Wong telah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan sejak 2021 dan Timbalan Perdana Menteri sejak 2022, pendekatannya sebagai Perdana Menteri dijangka bercirikan kesinambungan, bukannya perubahan drastik untuk memastikan asas stabil bagi kerjasama ekonomi seterusnya.
"Beliau akan meneruskan dasar ekonomi yang didukung oleh Perdana Menteri sebelum ini, yang mana beliau turut terlibat membincangkannya, yang jika mengikut kebiasaan, akan menyokong hubungan perdagangan yang kukuh di antara Singapura dan Malaysia," katanya.
Menurutnya, Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi yang sangat strategik, disenaraikan sebagai rakan dagangan kedua terbesar antara satu sama lain secara konsisten dalam tempoh sedekad lalu.
Kebergantungan ekonomi antara satu sama lain jelas dapat dilihat menerusi kuantiti perdagangan yang besar berjumlah AS$79.6 bilion pada 2023 dan AS$83.53 bilion pada 2022.
"Perkongsian ini memainkan peranan penting dalam strategi ekonomi yang lebih luas bagi setiap negara, yang diterjemahkan sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain di rantau ASEAN, memudahkan perdagangan rentas sempadan, yang mana penting untuk kestabilan dan pertumbuhan serantau," kata Anas.
Katanya, ketika Malaysia bersiap sedia menggalas tanggungjawab Pengerusi ASEAN pada 2025, hubungan strategik dengan Singapura boleh memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini, memanfaatkan hubungan ekonomi yang telah terjalin kukuh antara kedua-duanya dan status sebagai hab perdagangan utama.
"Kedua-dua negara boleh meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelabur yang mencari kestabilan dan peluang pertumbuhan di Asia Tenggara. Kerjasama ini berpotensi meningkatkan 'pengaruh ekonomi' mereka dalam ASEAN, dalam memacu pembangunan serantau yang lebih bersepadu dan mampan," katanya.
Antara elemen penting dalam kerjasama strategik Malaysia dan Singapura ialah Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura, yang diwujudkan untuk merancakkan aktiviti ekonomi dengan menawarkan insentif perniagaan menarik seperti pengurangan kadar cukai dan proses kemasukan dipermudahkan untuk pekerja mahir.
"Kunci kejayaannya ialah pembangunan infrastruktur yang bertujuan memastikan pergerakan lancar antara kedua-dua negara, yang bukan sahaja memudahkan akses kepada perniagaan dan pelabur, tetapi juga meningkatkan lagi integrasi ekonomi dan daya tarikan kedua-dua negara.
"Inisiatif strategik ini menggariskan komitmen bersama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan juga meningkatkan pengaruh mereka dalam ASEAN," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Lawrence Wong #Malaysia-Singapura #ESG #ASEAN #alam sekitar #teknologi
;