Anugerah Halal Dunia perkukuh kedudukan Malaysia raih peluang di pasaran global - HDC

Bernama
Oktober 30, 2024 05:30 MYT
Tengku Zafrul berkata ekosistem halal yang teguh merupakan faktor yang sangat penting seperti ditekankan dalam langkah-langkah progresif di bawah Belanjawan 2025. - Foto BERNAMA
MELAKA: Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2023 (WHEA 2023) anjuran Halal Development Corporation Bhd (HDC) bukan sahaja melengkapi ekosistem industri halal Malaysia malah meletakkan negara di landasan kukuh untuk meraih peluang pasaran halal global yang dianggar mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.
HDC berkata, anugerah tersebut yang kini memasuki tahun ke-15 diadakan sebagai sebahagian daripada Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) yang bertujuan untuk meraikan dan menghargai pencapaian pemain industri halal selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran halal bernilai AS$3 trilion.
"Sejak penubuhannya pada 2009, HDC telah memberikan anugerah kepada lebih 250 individu, organisasi dan syarikat," kata perbadanan itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan diringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata ekosistem halal yang teguh merupakan faktor yang sangat penting seperti ditekankan dalam langkah-langkah progresif di bawah Belanjawan 2025.
Beliau berkata eksport halal negara mencatatkan prestasi sangat memberangsangkan, melonjak kepada RM54 bilion pada 2023.
Menurutnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi di bawahnya aktif mengembangkan pasaran halal untuk pengeksport, contohnya yang terbaharu, mendapatkan janji niaga perdagangan berpotensi bernilai RM2.65 bilion dari Pakistan.
MITI juga sedang menimbang potensi kerjasama dengan Kanada yang mana negara itu mempunyai pasaran halal bernilai C$1 bllion dengan penduduk Muslim seramai 1.15 juta orang.
"Usaha kita dalam kerjasama strategik, serta agenda pembaharuan industri telah meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk memenuhi permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal di peringkat global.
"Kita akan terus membina kekuatan kita di samping memantau rapat prestasi utama yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) untuk membina industri halal yang mampan dan berdaya tahan bagi Malaysia, terutamanya unruk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat," katanya.
Dua kategori utama WHEA 2023 ialah Anugerah Kecemerlangan Prestasi Halal Negeri dan Anugerah Kecemerlangan Penerajuan Halal.
Anugerah tersebut mengiktiraf 30 organisasi dan individu cemerlang atas sumbangan luar biasa mereka kepada industri halal.
Mendahului senarai penerima anugerah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Mohd Yusoff, yang kepimpinan dan komitmennya banyak mempengaruhi ekosistem halal global termasuk pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia dan tadbir urus hal halal.
Anugerah Kecemerlangan Prestasi Halal Negeri Halal tahun ini diberikan kepada kerajaan negeri Melaka sebagai mengiktiraf inisiatif cemerlangnya menggalakkan amalan halal sambil memacu pelaburan dalam industri tersebut.
Bagi anugerah tahun ini lebih 200 penyertaan diterima dan calon-calon telah menjalani audit pengurusan menyeluruh yang dijalankan oleh Deloitte Business Advisory Sdn Bhd bagi memastikan piawaian pemilihan memenuhi tahap global.
Pemenang WHEA 2023 menerima trofi dan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program seperti Jelajah Persidangan Perniagaan Halal Dunia, selain mendapat pengiktirafan dalam rangkaian global HDC.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Zus Coffee, Venon Tian, yang merupakan salah satu pemenang berkata anugerah itu mengiktiraf komitmen syarikat tersebut terhadap industri halal.
"Rasa sangat gembira dapat anugerah ini sebab kami telah mulakan komitmen terhadap industri halal ini sejak 2021 dan pada masa tu kita ada 20 cawangan dan sekarang 600 cawangan (namun) komitmen (terhadap halal) tetap sama.
"Menerima anugerah ini bukan menentukan berapa banyak lagi yang kami perlu lakukan..jika kami tidak menerima anugerah ini pun kami akan tetap meneruskan usaha seperti ini dan saya rasa tahun ini banyak lagi yang telah kami lakukan dalam program halal," katanya.
Zus Coffee memenangi Anugerah Kecemerlangan Platform Digital Halal (Kategori Tempatan) atas usahanya membangunkan platform digital dinamik untuk meningkatkan penglibatan dan kemudahan pelanggan.
Penyepaduan teknologi dengan prinsip halal meletakkan Zus Coffee sebagai peneraju dalam pasaran kopi Malaysia sambil mencerminkan dedikasinya terhadap kualiti dan nilai komuniti.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2025 #JAKIM #pelaburan #program halal
;