Annan: Akses dana dan pembiayaan perlu diwujudkan
Rizal Zulkapli
Jun 7, 2013 08:11 MYT
Jun 7, 2013 08:11 MYT
Usahawan harus diberi peluang dan akses kepada dana dan pembiayaan yang diperlukan untuk memastikan usaha mewujudkan pekerjaan dapat diteruskan.
Menurut bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Kofi Annan, dana dan yayasan yang wujud di serata dunia ketika ini harus memberikan perhatian kepada usahawan ini terutama di rantau Afrika.
Annan membuat kenyataan berkenaan dalam sesi perbincangan di Majlis Usahawan Tahunan Ernst and Young di Monte Carlo.
Annan menyatakan selepas krisis kewangan 2008, negara membangun menerusi perusahan kecil dan sederhana terus berjaya mewujudkan pekerjaan.
Namun, negara maju seperti di rantau Eropah terus berdepan masalah dengan kadar pengangguran golongan muda yang tinggi dan hampir tiada sokongan kepada keusahwanan.
Ini diburukkan lagi dengan sikap bank yang gagal menyalurkan lebih 6 trillion dolar tunai yang dipegang kepada industri yang memerlukan.
Annan menambah, kegagalan untuk mewujudkan pekerjaan bagi golongan muda akan menjadikan jurang rakyat miskin dan kaya semakin meningkat.
"Pengangguran golongan muda akan menjadi masalah serius kepada kita di serata dunia jika gagal melakukan sesuatu, "kata Annan.
Ini katanya, jika tidak dibendung akan mengakibatkan masalah sosial.
Annan menggesa dana dan yayasan dengan tunai memberikan peluang dan bantuan kepada usahawan muda yang dapat mewujudkan pekerjaan.
Mengulas mengenai Afrika, Annan yang juga pengerusi Panel Kemajuan Afrika menyatakan bahawa cabaran utama kini adalah untuk memastikan hasil sumber asli di rantau berkenaan disalurkan ke rakyat.
"Kami percaya sumber asli adalah milik rakyat dan hasilnya harus digunakan untuk rakyat. Namun ini tidak berlaku. Ia kerana beberapa sebab termasuk penyelewengan oleh pihak berkuasa dan syarikat yang mengelak cukai. Warga Afrika tidak mendapat apa-apa," kata beliau.
Tambahnya antara usaha yang akan diambil panel tersebut termasuk ketelusan dalam penganugerahan kontrak.
Ini jika dilakukan dengan betul, dapat memastikan Afrika mempunyai dana yang mencukupi untuk pembangunan kesihatan, infrastruktur dan tenaga.