Angkasawan NASA pulang selepas 9 bulan di angkasa
Astro Awani
Mac 19, 2025 08:30 MYT
Mac 19, 2025 08:30 MYT
Dari kiri angkasawan NASA Butch Wilmore, Alexander Gurbunov dari Rusia, Nick Hague dan Suni Williams ketika menunggu untuk keluar dari kapsul SpaceX selepas mendarat ke bumi. - Foto SpaceX via AP
ANGKASAWAN NASA Butch Wilmore dan Suni Williams selamat kembali ke bumi pada Selasa dengan pendaratan di perairan luar pesisir Florida menggunakan kapsul SpaceX.
Mereka pulang selepas sembilan bulan berada di angkasa akibat kegagalan kapal angkasa Boeing Starliner yang sepatutnya membawa mereka pulang dalam tempoh seminggu.
Kepulangan mereka menandakan berakhirnya misi angkasa yang dipenuhi ketidakpastian serta masalah teknikal.
Ia menjadikan perancangan kontingensi NASA dan kegagalan terbaru Starliner sebagai tumpuan global dalam perkembangan penerbangan angkasa.
Wilmore dan Williams, dua angkasawan veteran NASA serta bekas juruterbang ujian Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), menaiki kapal Crew Dragon bersama dua angkasawan lain sebelum berlepas meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk memulakan perjalanan 17 jam kembali ke bumi.
Kru empat orang itu, yang merupakan sebahagian daripada misi rotasi angkasawan nasa Crew-9, memasuki semula atmosfera bumi sekitar pukul 5.45 petang waktu tempatan, memperlahankan kelajuan orbit mereka daripada kira-kira 17,000 batu sejam kepada hanya 17 batu sejam sebelum mendarat di lautan menggunakan dua set payung terjun.
Pasangan angkasawan ini dihantar ke angkasa pada bulan Jun sebagai kru pertama Starliner dalam misi ujian selama lapan hari.
Namun masalah pada sistem tujahan kapal angkasa itu menyebabkan kelewatan berterusan sehingga NASA akhirnya memutuskan untuk membawa mereka pulang menggunakan kapal angkasa SpaceX sebagai sebahagian daripada jadual rotasi kru agensi tersebut.
Dalam misi ini, Wilmore dan Williams mencatatkan 286 hari di angkasa, melebihi tempoh misi ISS biasa yang berlangsung enam bulan.
Bagaimanapun masih jauh daripada rekod yang dipegang oleh angkasawan AS, Frank Rubio, yang menghabiskan 371 hari di angkasa akibat kebocoran penyejuk pada kapal angkasa Rusia pada tahun 2023.