Angkasa sasar jualan produk gajet RM5 juta menjelang akhir tahun
Bernama
Jun 9, 2018 05:00 MYT
Jun 9, 2018 05:00 MYT
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui Pavilion Gadjet Angkasa Digital Store, menyasarkan jualan produk gajet sebanyak RM5 juta menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Presiden Angkasa Mutadho Bahri berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai melalui jaringan bersepadu koperasi di bawah naungannya, iaitu hampir 14,000 koperasi di seluruh negara.
"Sasaran jualan itu juga akan dapat dicapai berdasarkan lokasi strategik (Pavilion Gadjet Angkasa Digital Store) di Plaza Low Yat, yang sinonim dengan jualan barangan gajet.
"Bagi mencapai sasaran tersebut, kita juga akan menggunakan kaedah penyaluran maklumat antara koperasi, (pada program) seperti mesyuarat agung dan kursus yang membolehkan pengiklanan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pavilion Gadjet Angkasa Digital Store di sini hari ini.
Terdahulu, Koperasi Yayasan Guru Malaysia Bhd, Koperasi Perkasa Malaysia Bhd, Koperasi Pasaraya Malaysia Bhd, Angkasa Gemilang Sdn Bhd dan Online Ads Guru Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik yang diterajui oleh Angkasa.
Mutadho berkata kerjasama itu akan memperluaskan peluang perniagaan antara koperasi dalam bidang teknologi yang melibatkan hampir 14,000 koperasi dan lapan juta ahli koperasi di Malaysia.
"Saya percaya melalui kerjasama ini, keupayaan koperasi untuk menjalankan perniagaan gajet dalam kalangan ahli koperasi akan lebih berjaya dan mantap," katanya.
Angkasa adalah badan koperasi tertinggi yang mewakili pergerakan koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
-- BERNAMA