Angkasa sasar eksport produk koperasi ke pasaran Asia Pasifik
Bernama
Februari 20, 2024 09:10 MYT
Februari 20, 2024 09:10 MYT
SUNGAI PETANI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan untuk mengeksport produk berasaskan makanan menembusi pasaran Asia Pasifik, tahun ini.
Presidennya Datuk Seri Abdul Fatah Abdullah berkata ketika ini, Angkasa mempromosi dan memperluaskan produk koperasi ke negara ASEAN seperti Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Brunei dan Singapura.
"Angkasa akan buat promosi, luaskan lagi ke peringkat negara luar ASEAN...misalnya ke peringkat Asia Pasifik seperti China, India, Jepun dan Korea.
"Produk yang akan kita ketengahkan ialah produk berasaskan makanan...ini kerana kosnya lebih rendah, ada permintaan untuk makanan halal dalam pasaran dan kita dapat menawarkannya pada harga yang lebih berpatutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Kontena Pertama MyGerak ke Arab Saudi di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Dewan MyGerak Eksport Malaysia Mohd Fadrol Hishaini.
Abdul Fatah berkata 12 produk berasaskan makanan yang dianggarkan bernilai RM489,000, akan dieksport ke Arab Saudi dan dijangka berada di pasaran negara itu, pada Mac.
"Ini merupakan penghantaran pertama produk dari syarikat tempatan di bawah MyGerak, dan saya berharap akan ada susulan kerana negara ini boleh menjadi gerbang ke rantau Timur Tengah.
"Permintaan produk Malaysia di sana tinggi, ramai rakyat Malaysia ke sana mengerjakan haji dan umrah, itu belum termasuk yang bekerja dan menetap di sana," katanya.
Abdul Fatah berkata produk dari Malaysia, turut diterima baik masyarakat Islam dari negara lain yang berada di Arab Saudi seperti Indonesia, sekali gus meningkatkan lagi permintaan produk Malaysia di negara terbabit.
"Selain Arab Saudi, MyGerak sebenarnya sudah menghantar produk koperasi ke China pada Januari lalu dan penghantaran kedua dijangka akan dibuat pertengahan tahun ini.
"Angkasa berbangga dengan pencapaian MyGerak menembusi pasaran ini dan akan membantu mempersiap produk dan perkhidmatan koperasi agar bersedia untuk dibawa ke pasaran antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA