Anda seorang pelabur? Ini 7 perkara yang perlu anda tahu pada 2016
Nurulhana Ismail
Januari 20, 2016 17:54 MYT
Januari 20, 2016 17:54 MYT
Sekiranya anda berhasrat meninjau prospek pelaburan dan perniagaan tahun ini, laporan unjuran ekonomi global oleh Standard Chartered ini boleh digunakan sebagai panduan.
Antara tumpuan yang diberikan termasuk situasi ekonomi China, Asia Tenggara, Malaysia, jangkaan harga minyak mentah dan Dolar Amerika Syarikat (AS) serta ekonomi Eropah.
1. APA PROSPEK EKONOMI GLOBAL?
Prospek ekonomi dunia tahun ini adalah malap. Tiada ekonomi yang bakal menyaksikan pengembangan dan pertumbuhan global dijangka mendatar pada kadar 3.0 peratus pada 2016.
2. BAGAIMANA PULA DENGAN EKONOMI ASIA TENGGARA?
Tiga negara Asia Tenggara yang perlu diambil perhatian tahun ini; Singapura, Thailand dan Myanmar.
Ekonomi Singapura dijangka mencabar dengan potensi pertumbuhan hanya pada 2.0-4.0 peratus.
Namun, berita baik bagi Thailand dan Myanmar.
Thailand dijangka menjadi enjin pertumbuhan baru di rantau ini dengan kadar pertumbuhan pada 4.0 peratus.
Selain itu, kerajaan Thailand akan melaksanakan lebih banyak projek membabitkan pelaburan awam serta memberi lebih banyak rangsangan bagi pelaburan swasta.
Myanmar pula dijangka akan terus mencatat pertumbuhan kukuh tahun ini sebanyak 8.5 peratus.
Selain kemenangan parti demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi yang berjaya menarik keyakinan pelabur, negara itu giat membangunkan infrastruktur awamnya terutama dalam perkhidmatan telekomunikasi.
3. EKONOMI MALAYSIA MEMPERLAHAN
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dijangka memperlahan tahun ini pada 4.7 peratus.
Ringgit pula dijangka akan terus berada di paras lemah berbanding Dolar AS pada 4.00 dan menerima tekanan daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika.
4. BAGAIMANA DENGAN EKONOMI CHINA?
Ekonomi China dijangka tumbuh secara sederhana pada kadar 6.8 peratus pada 2016.
Dalam masa yang sama, pasaran saham China hanya dijangka pulih tahun hadapan. Sektor eksport pula dijangka tidak akan banyak menyumbang kepada pertumbuhan negara itu.
5. HARGA MINYAK MENTAH PULA BAGAIMANA?
Krisis di Asia Barat serta ancaman pengganas tidak akan memberi kesan yang besar terhadap harga minyak mentah dunia.
Harga komoditi itu berada pada paras rendah berikutan pengeluaran yang berlebihan serta berterusan daripada negara anggota OPEC, Rusia dan Amerika Syarikat.
Bagi 2016 secara purata harga komoditi itu mampu mencecah USD63 setong.
6. APA PULA PROSPEK DOLAR AS?
Dolar Amerika Syarikat mencatatkan paras tertinggi pada penghujung 2015.
Pengukuhan nilai matawang Amerika Syarikat itu dipengaruhi peningkatan tahap keyakinan kadar kenaikan Rizab Persekutuan dan unjuran kelonggaran polisi dari rakan dagangan seperti Eropah.
Bagaimanapun pengukuhan Dolar Amerika Syarikat dijangka tidak bertahan lama kerana matawang itu diramal mencapai tahap keseimbangan menjelang suku pertama tahun ini.
7. ADAKAH EROPAH SUDAH PULIH?
Ekonomi Eropah dijangka terus menyaksikan pemulihan disebalik krisis ekonomi yang melanda Greece tahun lalu dan kebimbangan politik seperti krisis pelarian dan pencari suaka Asia Barat dan negara bergolak lainnya.
Selain itu, langkah Bank Pusat Eropah yang telah melonggarkan polisi monetarinya dilihat akan merangsang perniagaan dengan lebih banyak bank memberi pinjaman kepada pelabur tahun ini.