Anak syarikat AZRB terima projek bina jambatan bernilai RM63.5 juta

Bernama
Februari 4, 2025 08:15 MYT
AZRB berkata, projek jambatan baharu di Kuala Lipis itu akan menyokong pelan strategik semasa kumpulan, pertumbuhan yang berterusan dan kejayaan selama tiga tahun akan datang. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB), Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB) menerima kontrak bernilai RM63.5 juta daripada Jabatan Kerja Raya bagi membina jambatan di Kampung Binjai, Kuala Lipis, Pahang.
AZRB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, projek baharu itu merupakan satu lagi pencapaian penting kumpulan selain merupakan bukti rekod prestasi cemerlang AZRB dalam menyiapkan projek seumpamanya.
"Lembaga pengarah berpendapat penerimaan projek baharu ini demi kepentingan terbaik syarikat dan yakin kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan," katanya.
Tempoh projek berkenaan selama 36 bulan dan ia bermula dari 12 Feb, 2025.
Jambatan baharu ini meliputi jarak kira-kira 400 meter dan lebar 11 meter, merentasi Sungai Lipis di Pahang serta menghubungkan Laluan Persekutuan (FT08) ke Kampung Binjai.
AZRB berkata projek ini akan menyokong pelan strategik semasa kumpulan, pertumbuhan yang berterusan dan kejayaan selama tiga tahun akan datang.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bahagian kejuruteraan dan pembinaan kumpulan terutamanya melalui AZSB menyiapkan beberapa projek infrastruktur yang penting seperti Jambatan Putra di Kuantan, Pahang; Pakej V6 dan S6 Laluan MRT Kajang serta Pakej V202, S202 dan S206 Laluan MRT Putrajaya.
-- BERNAMA
#AZRB #Ahmad Zaki Resources #jambatan #Pahang
;