Anak syarikat AirAsia selesai pemasangan pertama jalur lebar GX Aviation
Dagang News
November 26, 2021 09:15 MYT
November 26, 2021 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Inmarsat, peneraju dunia dalam komunikasi satelit mudah alih global, hari ini mengumumkan pemasangan pertama jalur lebar dalam pesawat iaitu GX Aviation oleh Asia Digital Engineering (ADE).
Pemasangan tersebut diselesaikan dalam pesawat AirAsia jenis Airbus A320 dan menandakan kejayaan penting ADE dalam usahanya untuk menjadi rakan kongsi pilihan bagi pemasangan GX Aviation untuk semua syarikat penerbangan di Asia Tenggara, bermula dengan AirAsia Group.
Naib Presiden Jualan Global Inmarsat Aviation, Chris Rogerson berkata, AirAsia Group adalah pelanggan terbesar untuk penyelesaian jalur lebar GX Aviation di rantau Asia Pasifik, dan salah satu yang terbesar di dunia.
Katanya, kerjasama ini telah mencapai kejayaan besar berdasarkan visi yang dikongsi bersama untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh platform digital dan sambungan kepada penumpang dalam industri penerbangan, terutamanya dalam pemulihan selepas pandemik ini.
"Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk bekerjasama dalam pemasangan GX Aviation untuk AirAsia dan syarikat penerbangan lain di rantau ini, menerusi pengalaman dan kepakaran oleh Inmarsat, ADE dan AirAsia Group secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
ADE, anak syarikat milik penuh AirAsia Group dan penyedia perkhidmatan kejuruteraan terkemuka di Asia Tenggara berhasrat untuk menjadi pusat sehenti bagi syarikat penerbangan yang ingin mengendalikan pesawat dengan jalur lebar, menerusi kepakaran luasnya dalam kejuruteraan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan kerjasama Inmarsat, peneraju penyelesaian jalur lebar di pasaran.
Ia ditubuhkan pada September 2020 selepas AirAsia Group menyatukan aset kejuruteraan dan MRO untuk menyediakan pusat perkhidmatan sokongan yang bukan sahaja untuk pesawatnya malah untuk syarikat penerbangan komersial lain di rantau ini.
Dengan tumpuan unik pada data dan teknologi, ADE berjaya memanfaatkan dan terus membina pengalaman selama 19 tahun dalam mengendalikan dan menyelenggara pesawat AirAsia Group yang terdiri daripada lebih 250 pesawat jenis Airbus A320 dan A330.
Sementara itu, Ketua Pegawai Asia Digital Engineering, Mahesh Kumar berkata, ADE telah mencapai kemajuan besar sejak penubuhannya semasa pandemik pada tahun lalu.
"Menerusi kerjasama rakan kongsi seperti Inmarsat, kami menjangka ADE akan menjadi peneraju pasaran yang menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan nilai terbaik menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan," katanya.
Setakat ini, ADE telah menerima kelulusan penyelenggaraan asas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Direktorat Jenderal Penerbangan Awam Indonesia.
Ia juga dijangka menerima kelulusan daripada 5 pihak berkuasa lain sebelum akhir tahun ini dalam usahanya mengembangkan perkhidmatan bagi syarikat penerbangan di seluruh rantau ini.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.