ANA lancar destinasi penerbangan baharu Tokyo-Kuala Lumpur
Bernama
Januari 25, 2015 13:36 MYT
Januari 25, 2015 13:36 MYT
Syarikat penerbangan Jepun, All Nippon Airways (ANA) Co. mengesahkan pada Sabtu di New York Times Travel Show di sini bahawa ia akan melancarkan penerbangan harian baharu dari Tokyo ke Kuala Lumpur berkuat kuasa 1 Sept 2015.
ANA, yang merupakan anggota perikatan syarikat penerbangan Star Alliance dan mengadakan usaha sama dengan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, melihat adanya 'permintaan yang baik' untuk tempat duduk dari Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Pada masa ini, tiada penerbangan terus antara kedua-dua negara sejak Malaysia Airlines (MAS) menarik diri sepenuhnya dari pasaran AS beberapa tahun lepas, yang membolehkan syarikat penerbangan lain untuk mengisi kekosongan itu.
"Kami akan memulakan perkhidmatan dari AS ke Malaysia melalui Tokyo di mana penumpang akan ditempatkan di penerbangan tanpa henti menuju Kuala Lumpur. Kami pernah terbang dari Tokyo ke Kuala Lumpur beberapa tahun lepas, dan kini kami akan menyambung semula perkhidmatan itu menggunakan pesawat B-787 Dreamliner terkini.
"Bagaimanapun, untuk sektor New York-Tokyo, kami akan menggunakan pesawat B777-3000," kata Pengurus Kanan Jualan ANA Vincent Kong yang berpengkalan di New York dalam satu temu bual dengan Bernama di New York Times Travel Show.
ANA juga mengendalikan rangkaian hubungan yang luas antara AS dan Jepun.
Syarikat penerbangan itu mengendalikan dua penerbangan harian ke Tokyo dari Lapangan Terbang JFK New York, satu penerbangan harian masing-masing dari Washington dan Dallas, dua penerbangan harian dari Chicago dan Los Angeles serta masing-masing satu dari San Francisco, San Jose dan Seattle.
Tidak lama lagi, syarikat itu akan melancarkan penerbangan harian dari Huston, Texas ke Tokyo.
Penumpang dari Malaysia akan menjadi penumpang pertama diterbangkan dari lokasi itu ke Tokyo dan ditempatkan di penerbangan lain untuk ke Kuala Lumpur.
Ditanya apakah faktor yang mendorong ANA untuk melancarkan perkhidmatan harian Tokyo-Kuala Lumpur, Kong berkata: "Kami melihat pertumbuhan yang kukuh dalam permintaan untuk penerbangan ke Kuala Lumpur yang tidak disediakan secara langsung dari AS. Sebagai anggota Star Alliance, akan ada perkongsian kod dan sinergi lain dengan syarikat penerbangan lain juga."
Penerbangan Tokyo ke Kuala Lumpur akan berlepas pada 5.20 petang (waktu Tokyo) setiap hari dan tiba di Kuala Lumpur pada 11.35 malam hari yang sama, manakala dari Kuala Lumpur ke Tokyo pula, waktu pelepasan ialah pukul 7 pagi (waktu Kuala Lumpur) dan tiba di Tokyo pada 3 petang (waktu Tokyo) hari yang sama.
"Kami melihat potensi trafik yang besar dari New York dan Houston ke Malaysia...kajian kami menunjukkan ada permintaan yang bagus untuk laluan ini," kata Kong. - Manik Mehta