AMS-The ASEAN Post kolaborasi pacu pelaburan media lebih efektif

Ehsan A Marisah
April 6, 2021 21:18 MYT
Kerjasama ini akan menjejaki 6.3 juta golongan profesional bekerja seluruh ASEAN termasuk pengembangan dalam segmen periklanan dan pemasaran jenama.
BUKIT JALIL: Astro Media Solutions (AMS) mengumumkan kerjasama bersama platform media digital pertama ASEAN, The ASEAN Post untuk membantu industri terjejas dalam perniagaan akibat COVID-19 melalui pelaburan media berkesan dan efektif.
Menerusi kolaborasi itu, pakej-pakej berpatutan dan menjimatkan kos akan dibangunkan di samping memberikan pulangan pelaburan kompetitif merangkumi segmen digitalisasi dan penerokaan pasaran baharu.
Pakar pengiklanan dan pemasaran, AMS akan membantu jenama dan perniagaan terkesan dengan meluaskan lagi peningkatan pasaran pasca COVID-19 selain turut serta dalam dialog yang membentuk masa depan Asia Tenggara.
Pengarah AMS, Wong See Wei berkata, COVID-19 memperlihatkan kepentingan terhadap digitalisasi termasuk menjadi fokus utama bagi pasaran ASEAN.
"Dengan kerjasama strategik ini, kami dapat meningkatkan penawaran kandungan digital untuk jenama korporat memperluas pasaran di luar Malaysia dan Singapura termasuk menjangkau isu-isu penting di rantau ASEAN," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, dengan lebih 40 jenama digital di bawah AMS melibatkan pengguna dan pelanggan perniagaan yang sedia ada, ia akan mewujudkan nilai dan peluang pemasaran bagi seluruh rantau ASEAN ke Malaysia dan sebaliknya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Penasihat The ASEAN Post, Azizi Meor Ngah menjelaskan bahawa kerjasama itu di bawah Spotlight Labs akan memberi manfaat kepada pihaknya berinteraksi dengan beberapa jenama terkemuka di Malaysia.
"Kami berharap syarikat-syarikat Malaysia mengambil kesempatan ini untuk memperluas jenama selain hanya di pasaran tempatan.
“Kami juga berharap melihat lebih banyak jenama serantau memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui saluran pemasaran Astro yang sedia ada sekali gus penyelarasan kandungan digital kami di Astro AWANI dan SYOK,” katanya.
Dengan 5.7 juta pelanggan Astro yang merangkumi 74 peratus isi rumah di Malaysia manakala sejuta pengguna aktif merangkumi 15 peratus daripada populasi ASEAN, bagi The ASEAN Post, ia akan menjejaki 6.3 juta golongan profesional bekerja seluruh ASEAN termasuk pengembangan dalam segmen periklanan dan pemasaran jenama.
AMS adalah aset media di Astro Malaysia yang menawarkan pemasaran, pengaktifan, pemasaran, perdagangan serta bakat berdasarkan data di platform televisyen, radio dan digital.
#Astro #Astro Media Solutions #The Asian Post #pelaburan #Media #COVID-19 #ASEAN
;