AMNC 2023: Saling percaya ialah teras kesejahteraan global - Presiden WEF

Irfan Faruqi
Jun 29, 2023 15:19 MYT
Brenden berkata AMNC kali ini adalah yang pertama diadakan secara fizikal di China sejak 2019. - foto WEF
TIANJIN: Perkongsian terbuka perlu terus digalakkan antara negara-negara untuk berdepan dengan pelbagai cabaran global yang tidak menunjukkan tanda mereda.
Presiden World Economic Forum (WEF), Borge Brende berkata semua pihak terlibat dalam perkongsian pandangan, idea dan pengalaman.
Sesi seperti ini membantu memperkuat kerjasama antara satu sama lain.
"Di samping itu, ia menyuburkan keusahawanan dan inovasi. Kita perlu membina kepercayaan.
"Ia merupakan asas kepada kesejahteraan untuk masa akan datang - bukan solusi sebelah pihak, sebaliknya mencari jalan menang-menang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutup Mesyuarat Tahunan New Champions (AMNC) 2023, di sini hari ini.
Semasa sidang AMNC 2023 ini, 25 inisiatif untuk mewujudkan persekitaran kolaborasi antara pelbagai firma dan organisasi bagi mencapai hasrat yang dibincangkan sepanjang persidangan ini berlangsung.
Selain itu, Brende memaklumkan Indeks Peralihan Tenaga dan penubuhan Suruhanjaya Dunia berkaitan Bandar-biodiversiti juga telah dilancarkan.
"Semalam, kita telah melancarkan Index Peralihan Tenaga yang melaporkan penanda aras peralihan tenaga bagi sesebuah negara.
"Firma-firma China, Perancis dan Amerika Syarikat akan meningkatkan lagi kerjasama berkaitan iklim dan peralihan tenaga ke arah sifar karbon.
"Persidangan ini juga bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Dunia berkaitan Bandar-biodiversiti atau Global Commission on BiodiverCities dan memulihkan semula hutan di China melalui penanaman 1 trilion pokok," katanya.
AMNC 2023 juga melancarkan laporan Top 10 Emerging Technologies of 2023 mengenai jangkaan teknologi yang akan berkembang pesat, bagaimana untuk memanfaatkannya dan impaknya kepada komuniti.
Tumpuan diberikan kepada perkembangan kesalinghubungan global dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Akhirnya, mesyuarat ini juga sepakat mengenai keperluan keluar daripada kerangka pemikiran ekonomi berasaskan kepada pertumbuhan semata-mata, sebaliknya meningkatkan kerjasama ekonomi global.
"Kita berdepan dengan pertumbuhan perdagangan yang perlahan. Tahun ini ia dijangka berada pada tahap 1.7 peratus berbanding angka tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu 6 hingga 7 peratus," tambahnya.
AMNC 2023 melabuhkan tirai pada hari ini, selepas tiga hari bersidang. Ia merupakan penganjuran ke-14. Menurut, Brenden AMNC kali ini adalah yang pertama diadakan secara fizikal di China sejak 2019.
#World Economic Forum #Annual Meeting of the New Champions #WEF #ANMC 2023
;